IOC terima agenda Olimpik

IOC terima agenda Olimpik

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) – Negara anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah menerima Agenda Olimpik 2020 badan itu walaupun ia baharu dipersetujui Disember lepas, kata Presiden IOC Dr Thomas Bach.

“Proses perubahan kita perlu berterusan dengan tenaga yang sama sebagaimana pada hari istimewa 8 Dis 2014, apabila peranan strategik kita diluluskan.

“Kita boleh lihat hari ini, perubahan ini telah menampakkan kesan. Esok kamu (anggota IOC) akan memilih bandar raya tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

“Ini merupakan undi terakhir dalam prosedur pencalonan yang kita mulakan sebelum Agenda 2020 diluluskan”, kata beliau dalam ucaptamanya di sini malam ini. Bach dalam ucapannya pada pembukaan Persidangan ke-128 IOC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur berkata unsur Agenda Olimpik 2020 sudah diambil kira oleh calon tuan rumah. Pembukaan persidangan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada persidangan IOC yang bermula esok, perwakilan akan membuang undi untuk memilih sama ada Beijing, China atau Almaty, Kazakhstan bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Thomas Bach (kanan) menyerahkan dokumen kepada Datuk Bandar Lausanne Daniel Brelaz (kiri) selepas bandar itu dipilih sebagai tuan rumah Olimpik Belia 2020 di Kuala Lumpur patang tadi. – AFP
Thomas Bach (kanan) menyerahkan dokumen kepada Datuk Bandar Lausanne Daniel Brelaz (kiri) selepas bandar itu dipilih sebagai tuan rumah Olimpik Belia 2020 di Kuala Lumpur patang tadi. – AFP

Tuan rumah Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk 2020 juga akan diputuskan dalam persidangan itu yang menyaksikan Lausanne, Switzerland dan Brasov, Romania membida untuk menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan.

“Dalam beberapa hari ini kita akan menyaksikan banyak unsur Agenda Olimpik 2020 telah pun dilaksanakan. Terdapat tanda-tanda positif bahawa kita bergerak ke arah yang betul.”

“Agenda Olimpik 2020 memberikan kita wawasan yang jelas ke mana kita menuju, bagaimana kita boleh melindungi keunikan Olimpik dan mengukuhkan nilai-nilai Olimpik dalam masyarakat.

“Ini bukannya masa untuk menoleh ke belakang, tumpuan kita perlu ke hadapan,” kata Bach. Beliau memuji kedua-dua calon tuan rumah, Almaty dan Beijing kerana telah mengambil kira cadangan yang dikemukakan.

“Sebagaimana kita saksikan pembentangan di Lausanne beberapa minggu dahulu, kedua-dua calon memperlihatkan tumpuan yang lebih ke atas kemapanan, legasi dan kebolehlaksanaan,” katanya.

Beliau menggesa anggota IOC untuk meneruskan proses perubahan dengan tenaga yang sama sebagaimana pada hari hala tuju strategik masa hadapan Gerakan Olimpik diluluskan.

“Kita berhadapan tahun yang penting di hadapan kita, agenda besar yang perlu ditangani. Ini adalah masa yang mengujakan.

“Banyak yang ‘pertama’ dalam rancangan kita – Sukan Olimpik pertama di Amerika Selatan, pelancaran Saluran Olimpik pertama, penglibatan penuh pertama IOC dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk membentuk masa hadapan masyarakat global.

“Mari kita menggunakan ‘pertama’ yang banayak ini sebagai inspirasi untuk menyambut perpaduan kita dalam kepelbagaian.

“Agenda Olimpik 2020 telah meletakkan kita pada laluan ke hadapan yang betul. Jika kita bersatu dalam wawasan dan nilai kita, maka masa hadapan kita akan bertambah baik,” kata Bach.

ARTIKEL YANG SAMA