IOC uji semula sampel atlet Olimpik London, Beijing

IOC uji semula sampel atlet Olimpik London, Beijing

BERLIN, 16 Mac (Reuters) – Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) kini dalam proses menguji semula ratusan sampel atlet di Sukan Olimpik London 2012 dan Beijing 2008 bagi menghalang penyalahgunaan bahan terlarang menjelang Rio 2016.

Isu doping menjadi bualan menjelang temasya Olimpik dengan skandal membabitkan Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) termasuk beberapa negara seperti Russia dan Kenya yang berkemungkinan tidak dapat menyertai Olimpik.

“Sasaran untuk program (menguji semula) ini adalah mencegah atlet yang menyalahgunakan bahan terlarang di London dan Beijing dan selepasnya, kerana kami tidak ada cara yang lebih maju untuk melakukan analisis seperti sekarang bagi menghalang mereka bertanding di Rio de Janeiro,” kata pengarah perubatan IOC, Richard Budgett dalam simposium anti-doping di Lausanne.

“Keputusan itu akan diperoleh dalam beberapa minggu atau bulan lagi.” Olahraga yang menjadi acara tumpuan dalam Olimpik, digegarkan dengan penggantungan Russia daripada sukan itu selepas Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) menyiasat badan induk olahraga itu yang menyembunyikan kes doping.Kenya juga bakal digantung jika tidak menepati apa yang dijanjikan kepada WADA.

Tennis turut dihantui isu doping pada minggu lalu apabila bekas pemain nombor satu dunia, Maria Sharapova mengumumkan dia positif menggunakan bahan terlarang, meldonium.

ARTIKEL YANG SAMA