IOC yakin Olimpik Rio

IOC yakin Olimpik Rio

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Hanya tinggal kira-kira setahun lagi sebelum Sukan Olimpik 2016 bermula, namun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yakin tuan rumah, Rio de Janeiro berada pada landasan tepat menganjurkannya biarpun berdepan pelbagai cabaran.

Presiden IOC, Thomas Bach berkata, terdapat perkembangan yang baik untuk Perkampungan Sukan dan kemudahan sukan yang lain, seperti dimaklumkan Jawatankuasa Penganjur Rio de Janeiro 2016.

Beliau juga memberi jaminan penundaan tempoh menyiapkan sistem pengangkutan bawah tanah ke Taman Olimpik di Barra yang merupakan projek pengangkutan utama untuk sukan itu, akan siap pada masanya.

“Kami mendapat laporan perkembangan pembinaan gelanggang termasuk Perkampungan Sukan dan dimaklumkan mereka sedang giat menyiapkannya.

“Mereka akan mengadakan 44 acara ujian dan saya akan menghadiri ujian acara mendayung minggu depan yang bertepatan dengan perayaan kiraan setahun sebelum temasya bermula pada 5 Ogos di Rio de Janeiro,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif, di sini, hari ini.

Thomas Bach (tengah) bersedia untuk mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif di Kuala Lumpur kelmarin. – Reuters
Thomas Bach (tengah) bersedia untuk mempengerusikan mesyuarat lembaga eksekutif di Kuala Lumpur kelmarin. – Reuters

Sementara itu, Bach mengakui tuan rumah itu berdepan cabaran serius untuk membersihkan kawasan teluk yang menjadi gelanggang acara pelayaran.

“Isu ini kami bincangkan lagi hari ini, pembersihan teluk dan langkah yang diambil mereka. Ia membabitkan dua peringkat, satu yang dilakukan sekarang dan satu lagi sejurus sebelum dan sewaktu temasya berlangsung bagi memastikan keselamatan dan kesihatan atlet,” katanya.

Sebelum ini, pelayar di Teluk Guanabara Bay dilaporkan bimbang dengan jumlah sampah dan pencemaran termasuk perabut terbuang dan bangkai binatang yang terapung.

Kerajaan negeri itu sudah mengakui mereka tidak dapat memenuhi sasaran awal mengurangi 80 peratus daripada pencemaran di teluk itu. Rio de Janeiro diumumkan sebagai tuan rumah sewaktu sesi 121 IOC di Copenhagen, Denmark pada 2 Oktober 2009.

Rio de Janeiro menjadi bandar raya pertama Amerika Selatan menganjurkan Sukan Olimpik, bandar raya kedua Latin Amerika menjadi tuan rumah selepas Mexico City pada 1968. Ini adalah juga kali pertama sejak 2000, ia dilangsungkan di Hemisfera Selatan.

Temasya sukan terbesar dunia itu akan dilangsungkan dari 5 hingga 21 Ogos 2016 dan lebih daripada 10,500 atlet dari 205 negara akan mengambil bahagian dalam 28 acara sukan termasuk ragbi tujuh sebelah dan golf, yang diserapkan oleh IOC pada 2009.

ARTIKEL YANG SAMA