IOC yakin Tokyo mampu bina stadium baru lebih murah

IOC yakin Tokyo mampu bina stadium baru lebih murah

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) melahirkan keyakinan tuan rumah Sukan Olimpik 2020, Tokyo, mampu membina sebuah stadium baharu yang lebih murah mengikut jadual.

Presiden IOC, Thomas Bach berkata, badan induk sukan dunia itu kini terbabit dengan tender stadium itu bagi memantau perkembangannya.

“Kami sudah menyatakannya secara jelas dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif yang kami mahu terbabit dalam tender itu,” kata Bach dalam sidang media di sini hari ini.

“Tendernya sudah disiapkan dan akan dikumpulkan untuk melihat semua keperluan Olimpik diambil kira supaya tiada kejutan menjelang setahun atau setengah tahun sebelum temasya itu, untuk kerajaan atau IOC.

“Pembabitan kami akan bermula dari peringkat awal dan akan ada pemantauan daripada suruhanjaya koordinasi seperti projek Olimpik yang lain,” katanya.

Presiden IOC sebelumnya, Jacques Rogge dalam gambar fail 7 September 2013 di Buenos Aires ketika mengumumkan Tokyo sebagai hos Sukan Olimpik 2020. – Reuters
Presiden IOC sebelumnya, Jacques Rogge dalam gambar fail 7 September 2013 di Buenos Aires ketika mengumumkan Tokyo sebagai hos Sukan Olimpik 2020. – Reuters

Awal bulan ini, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mendedahkan mereka membatalkan rancangan awal untuk Stadium Olimpik, yang direka syarikat Zaha Hadid Architects selepas kosnya mencecah lebih daripada AS$2 bilion.

Dilaporkan kos bahan binaan meningkat sejak Tokyo memenangi undian IOC pada 2013. Bach mendakwa hasil mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC di sini, membantu Jepun menjimatkan AS$1.7 juta.

“Mengikut semangat Olimpik Agenda 2020, bagi memastikan Sukan Olimpik mampu dilaksanakan, IOC boleh bersikap fleksibel. Lagipun ia bukan satu keputusan yang mudah untuk kerajaan Jepun.

“Kami hormat semua itu (keputusan kerajaan Jepun). Kami tidak mahu membina stadium hebat yang mahal untuk atlet dan penonton. Stadium itu harus mempunyai trek 400 meter, padang bola yang baik dan tempat duduk yang selesa untuk penonton,” kata Bach.

Sementara itu, Bach mengulangi keyakinan Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (USOC) akan mencari calon bandar raya mereka untuk Sukan Olimpik 2024.

“Kami mendapat komitmen daripada USOC untuk meletakkan calon bandar raya bagi Sukan Olimpik 2024. Kami percaya USOC akan mengotakan komitmen itu dan kami akan mendapat bidaan dari Amerika Syarikat pada 15 September ini,” kata Bach.

Tarikh akhir mengemukakan bidaan untuk Sukan Olimpik 2024 ditetapkan pada 15 September dengan Budapest, Hamburg, Paris dan Rome sudah mengumumkan hasrat mereka untuk membida.

ARTIKEL YANG SAMA