IoT pacu gaya hidup digital

IoT pacu gaya hidup digital

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Mungkin definisi ‘Internet of Things’(IoT) rumit bagi orang biasa tetapi ia sebenarnya akan memacu seterusnya gaya hidup digital hari ini.

Bayangkan kemeja, seluar atau pakaian kita setiap hari dipautkan kepada rangkaian digital yang memantau setiap perubahan badan dan kegiatan fisiologi. Ia kemudian menghantar isyarat amaran sebagai contoh apabila berlaku kadar degup jantung yang luar biasa.

Ini akan menunjukkan paras tekanan atau keletihan seseorang dan akan membantunya membuat keputusan sama ada mahu meneruskan kegiatan itu atau berjumpa dengan doktor.

Begitu juga sensor akan membaca warna rembesan dalam lampin bayi dan menghantar data menerusi rangkain untuk melihat sebarang petunjuk tahap kesihatan bayi.

Data daripada lampin itu juga boleh dihantar menerusi peranti elektronik pintar seperti telefon atau jam pintar kepada ibu atau penjaga untuk memberi amaran akan sebarang masalah atau sampai masa untuk menukar lampin yang lencun.

Malahan dengan IoT doktor juga kini boleh mengesan keadaan kesihatan pesakit pada masa nyata tanpa berjumpa dengan pesakit itu.

Data yang dihantar kepada peranti pemantau mungkin boleh mengesan kegiatan harian, tanda-tanda penting serta tabiat makan serta minum yang boleh membantu doktor mengetahui apa yang berlaku dalam kehidupan pesakitnya dan memberi nasihat yang diperlukan.

Contoh yang diberikan ini menunjukkan bagaimana IoT boleh mengubah gaya hidup kita. IoT sebenarnya boleh membawa kepada pelbagai kemungkinan yang dapat meningkatkan lagi gaya hidup.

“IoT bukan tentang Internet. Ianya mengenai objek fisikal di sekeliling kita yang dipautkan kepada Internet,” kata John Tay Jin Kiong, Pengarah Jabatan Gaya Hidup Digital dan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau memberitahu dengan IoT gaya hidup masyarakat sekarang akan semakin terpaut kepada Internet.

“Tidak lama lagi, kita akan melihat bagaimana IoT menukar rumah menjadi kediaman pintar serta menjimatkan kos. Pakar di merata dunia sedang bekerja keras untuk menjadikan alatan isi rumah menjadi alatan isi rumah pintar yang akan dipautkan dengan rangkaian digital.

“Bayangkan kediaman pintar anda sudah bersedia untuk menerima kehadiran anda selepas sehari suntuk sibuk bekerja,” katanya. – Bernama