IP turun 1.2 peratus pada Mei

IP turun 1.2 peratus pada Mei

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Indeks Pelopor (IP) yang memantau prestasi ekonomi ke hadapan mencatatkan penurunan 1.2 peratus pada Mei 2015 kepada 117.2 mata daripada 118.6 mata pada bulan sebelumnya.

Penurunan itu diteraju oleh dua komponen utama IP iaitu Import Logam Benar Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (-0.7 peratus), dan Bilangan Syarikat Baharu Didaftar (-0.6 peratus).

Perubahan tahunan IP turun kepada -0.2 peratus berbanding 0.9 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan mengenai ‘Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak & Susulan Mei 2015’, di sini hari ini.

Indeks Serentak (IS) yang mengukur aktiviti ekonomi semasa juga turun sebanyak 0.4 peratus pada bulan rujukan disebabkan penurunan dalam Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (-0.5 peratus), Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (-0.3 peratus) dan Jumlah Guna Tenaga di Sektor Pembuatan (-0.1 peratus).

Perubahan tahunan IS perlahan kepada 2.1 peratus berbanding 2.3 peratus pada April 2015.

Perubahan tahunan IP dan IS menunjukkan pertumbuhan lebih rendah pada Mei 2015 berbanding bulan sebelumnya.

Pada masa sama, Indeks Difusi bagi IP berada di bawah paras 50.0 peratus manakala IS kekal di atas paras 50.0 peratus.

Berdasarkan senario ini, ekonomi Malaysia dijangka terus bertumbuh pada kadar perlahan dalam bulan-bulan berikutnya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA