IPA terima pengiktirafan

IPA terima pengiktirafan

DUBAI, Amiriah Arab Bersatu, 9 Jun – Institut Perkhidmatan Awam (IPA) mengukir sejarahnya tersendiri apabila menerima anugerah ‘Contribution to HR Community Award’ setelah dipilih oleh komiti anugerah bebas.

Menerima anugerah tersebut bagi pihak IPA ialah Pengarah IPA, Hajah Norezan binti Haji Hambali, yang disampaikan oleh mantan menteri di Kementerian Kerja Raya, Bahrain, Jurutera Fahmi bin Ali Al-Jowder, pada majlis Makan Malam Gala Anugerah, di Grand Hyatt Hotel, Dubai, di sini, kelmarin.

Menurut kenyataan IPA, hari ini, anugerah ‘Contribution to the HR Community Award’ diberikan kepada penyumbang idea bernilai tinggi yang diguna pakai oleh penggiat-penggiat sumber manusia (HR) dan organisasi kerana keberkesanannya dan sebagai amalan terbaik perkembangan sumber manusia ke atas impak global.

Pengiktirafan ini diberikan kepada IPA atas inisiatif-inisiatif dalam melaksanakan agenda transformasi korporat yang melibatkan perubahan menyeluruh melalui perancangan dan pembentukan semula program perkembangan dan pembelajaran dengan menjadikan program berkenaan lebih interaktif, tematik dan fokus.

Jangkauan IPA juga diperluas dengan membukakan peluang kepada semua peringkat komuniti termasuk penyertaan daripada pihak sektor swasta dan badan berkanun lainnya.

Hajah Norezan menerima anugerah ‘Contribution to HR Community Award’ bagi pihak IPA yang disampaikan oleh Jurutera Fahmi.
Hajah Norezan menerima anugerah ‘Contribution to HR Community Award’ bagi pihak IPA yang disampaikan oleh Jurutera Fahmi.

IPA dalam kenyataannya menjelaskan, program pembelajaran dan perkembangan hibrid telah dilaksanakan dalam sama-sama mendokong hasrat dan wawasan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan warga perkhidmatan awam lebih dinamik dan berfikiran positif berlandaskan prinsip-prinsip pengurusan Islam dalam rutin seharian.

Menurut Pengarah IPA, anugerah yang diterima adalah hasil cetusan idea staf profesional IPA yang berjaya membuat peralihan strategi dengan mempakejkan semula program pembelajaran dan perkembangan yang dikendalikan oleh IPA.

Beliau juga menekankan bahawa dokongan dan hala tuju yang berwawasan daripada pihak Jabatan Perdana Menteri turut menyumbang kepada pencapaian ini.

“Di tahun-tahun mendatang, IPA akan terus mengembangkan modal insan yang kompeten dan berkemahiran bagi menghadapi cabaran masa hadapan demi membawa Negara Brunei Darussalam mencapai Wawasan Negara 2035,” tambahnya lagi.

Acara tersebut diadakan bersempena dengan ‘The Asia HRD Congress 2015’ yang turut dihadiri 200 penggiat sumber manusia mewakili 60 organisasi dari 20 negara Asia.

ARTIKEL YANG SAMA