iPay88 tembusi pasaran pembayaran dalam talian

iPay88 tembusi pasaran pembayaran dalam talian

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Kumpulan teknologi maklumat Jepun, NTT Data Corporation, akan menggunakan teknologi iPay88 dari Malaysia sebagai gerbang pembayaran utama dalam usahanya untuk menjadi pembekal pembayaran dalam talian kelima terbaik di dunia.

iPay88 Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini, berkata langkah yang diambil oleh NTT Data itu, sebahagiannya dipermudahkan selepas anak syarikatnya, NTT Data Asia Pte Ltd mengambil alih kepentingan majoriti dalam iPay88, pada September 2015.

Pengarah Jepun yang mewakili NTT Data dalam iPay88, Tohru Yoshioka, berkata kumpulan itu perlu menggandakan transaksi pembayaran dalam taliannya kepada AS$1 bilion setiap tahun untuk mencapai sasaran menjadi lima jenama terbaik global.

“Penggunaan iPay88 untuk pasaran ASEAN akan membolehkan NTT Data secara serta-merta memacu perniagaan kami datang dari luar Jepun, ini disebabkan iPay88 sudah pun mempunyai sambungan dengan beberapa gergasi pembayaran dalam talian terkemuka yang lain seperti Alipay Wallet dan WeChat Payment,” katanya.

Pengarah Eksekutif iPay88, Lim Kok Hing, berkata iPay88 sudah biasa dengan landskap tempatan e-dagang ASEAN.

“Kami telah berjaya dengan menyesuaikan teknologi pembayaran kami dengan budaya tempatan, serta penyelesaian yang disesuaikan dengan keunikan pasaran masing-masing,” katanya. – Bernama