iPhone 7 laris dijual

iPhone 7 laris dijual

SYDNEY, 16 Sept – Pelancaran iPhone 7 oleh Apple mengundang barisan panjang dan jualan yang laris hari ini mencabar jangkaan suram terhadap model tersebut, dengan sebilangan penggemar pulang dengan tangan kosong selepas berbaris berjam-jam lamanya apabila syarikat itu mengumumkan beberapa model telah habis dijual.

Telefon baru itu muncul dengan kamera yang dipertingkatkan, badan kalis air dan tanpa jack fon kepala ketika teknologi gergasi AS itu cuba mengubah kejatuhan jualan di tengah persaingan yang semakin meningkat.

Timbul banyak desas-desus dikalangan para penggemar Apple sejak iPhone 7 dan iPhone 7 plus dilancarkan, tentang ketiadaan jack fon kepala tetapi hari ini kebanyakan perbualan menumpu pada isu-isu bekalan. Semalam, saham Apple ditutup 3.4 peratus pada AS$115.56 ketika laporan menyatakan iPhone 7 telah habis terjual dalam pesanan awal sebelum kemunculannya di kedai-kedai.

Para pengguna di Sydney, yang telah berkhemah di luar dengan keadaan hujan adalah antara yang pertama di dunia memegang telefon baru itu, meskipun yang lain agak kecewa.

Seorang lelaki memeriksa Apple iPhone 7 baru yang dipamerkan di kedai utama Apple di pusat perniagaan di Sydney kelmarin. – AFP
Seorang lelaki memeriksa Apple iPhone 7 baru yang dipamerkan di kedai utama Apple di pusat perniagaan di Sydney kelmarin. – AFP

Bishoy Behman, 17 tahun telah duduk di luar kedai Apple sejak pagi Rabu lalu tetapi berkata dia dan yang lain dalam barisan semalam mendapati bahawa iPhone 7 Plus atau iPhone 7 jet black tidak dijual kerana telah habis terjual melalui pesanan awal.

“Saya tidak akan berbaris panjang jika saya mengetahui tentang itu,” dia memberitahu AFP, kerana dia mahukan iPhone 7 Plus. Sebelum pelancaran hari ini, Apple telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan dua model yang habis dijual tersebut “tidak akan ada diberikan kepada pelanggan yang baru datang.”

Beberapa pengendali telefon bimbit tempatan di Singapura juga berkata iPhone 7 jet black dan iPhone 7 Plus telah kehabisan stok “disebabkan permintaan tinggi”. Dan di Tokyo, pelajar bernama Rei Yokoyama, yang berbaris di hadapan sebuah kedai sejak pukul 4 pagi, tidak berjaya mendapatkan iPhone 7 Plus. – AFP