IPIC belum bayar faedah AS$50.3 juta – 1MDB

IPIC belum bayar faedah AS$50.3 juta – 1MDB

KUALA LUMPUR, 26 April – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata International Petroleum Investment Company (IPIC) belum membuat pembayaran faedah AS$50.3 juta seperti yang ditetapkan mengikut terma terikat yang dipersetujui pada 28 Mei 2015.

Mengikut IMDB berdasarkan lembaran terma terikat, IPIC bertanggungjawab membayar faedah dan jumlah asas bagi AS$1.75 bilion bon yang matang pada 2022, yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd.

“Disebabkan pertikaian antara pihak-pihak yang terlibat, 1MDB dan anak syarikatnya 1MDB Energy (Langat) Ltd, tidak membuat pembayaran dan kini ingkar mengikut syarat bon berkenaan,” kata syarikat pembangunan strategik itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, 1MDB mengulangi bahawa ia akan memenuhi semua obligasi kewangan lain yang sedia ada, dan mempunyai kecairan yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Sementara itu, 1MDB berkata ia telah berusaha untuk memenuhi semua obligasinya kepada IPIC, namun syarikat itu (IPIC) secara umumnya menafikan menerima atau memperakui pelbagai transaksi kewangan atau jaminan yang dibuat antara kedua-dua pihak.

“Oleh itu, walaupun 1MDB mempunyai dana untuk membuat pembayaran faedah, namun 1MDB adalah dalam kedudukan, pada prinsipnya, menjadikan IPIC sebagai bertanggungjawab untuk berbuat demikian.

“Sehingga IPIC memperakui bahawa semua kewajipannya sudah dipenuhi, 1MDB berhak untuk menangguhkan pembayaran dan akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA