IPP Malaysia naik 5.3 peratus

IPP Malaysia naik 5.3 peratus

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 5.3 peratus pada Jun 2016 berbanding tahun lepas, disokong oleh sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan berkata sektor pembuatan terus berkembang sebanyak 4.7 peratus pada Jun 2016 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus pada Mei 2016.

“Pertumbuhan pada Jun 2016 disokong oleh tiga subsektor iaitu barangan elektrik dan elektronik (9.1 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (5.0 peratus) serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan pencetakan (10.1 peratus).

Sektor perlombongan menunjukkan peningkatan kukuh pada Jun 2016 dengan pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus selepas mencatatkan penurunan 1.1 peratus pada Mei 2016.

Pertumbuan lebih tinggi ini disokong oleh peningkatan dalam indeks minyak mentah (8.8 peratus) dan indeks gas asli (3.5 peratus).

Pengeluaran sektor elektrik meningkat 8.7 peratus pada Jun berbanding 9.6 peratus yang dicatatkan pada Mei 2016. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA