IPP M’sia meningkat tiga peratus pada April

IPP M’sia meningkat tiga peratus pada April

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia berkembang 3.0 peratus tahun ke tahun pada April berbanding 2.88 peratus pada Mac, kata Jabatan Perangkaan.

Menerusi satu kenyataan, jabatan itu berkata peningkatan pada April disokong oleh pertumbuhan positif kesemua indeks – pembuatan, perlombongan dan elektrik.

Jabatan itu berkata sektor pembuatan meningkat 3.3 peratus, dirangsang oleh produk elektrik dan elektronik (7.9 peratus), petroleum, kimia, barangan getah dan plastik (4.8 peratus), selain barangan mineral bukan metalik, logam asas dan produk logam fabrikasi (4.1 peratus).

“Keluaran sektor perlombongan meningkat 0.6 peratus dalam bulan yang sama selepas merosot 2.5 peratus pada Mac, disokong oleh peningkatan 3.7 peratus indeks Gas Asli manakala Indeks Minyak Mentah susut 9.4 peratus pada April selepas merekodkan 7.7 peratus pada Mac,” katanya. – Bernama