IPT adakan upacara menaikkan bendera

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Dalam usaha menanamkan rasa cintakan tanah air dalam kalangan pelajarnya, institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini juga tidak ketinggalan mengadakan upacara menaikkan bendera negara, hari ini, sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.

Antara institusi pengajian tinggi yang mengadakannya berikutan Upacara Menaikkan Bendera Besar di ibu negara pagi tadi, adalah Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Majlis telah diadakan di hadapan Bangunan Perpustakaan UBD dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Naib Canselor, Dr. Teo Siew Yean. Turut hadir ialah para pegawai utama, kakitangan dan pelajar-pelajar UBD.

Upacara menaikkan bendera di majlis berkenaan telah disempurnakan oleh ahli-ahli Platun Kadet Tentera UBD setelah menerima bendera daripada tetamu kehormat.

Universiti Teknologi Brunei (UTB) juga telah mengadakan upacara seumpamanya yang dihadiri oleh Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman selaku tetamu kehormat serta para pegawai utama, pensyarah, kakitangan dan penuntut universiti tersebut.

Profesor Dr. Hajah Zohrah bergambar ramai selepas upacara menaikkan bendera di UTB.
Profesor Dr. Hajah Zohrah bergambar ramai selepas upacara menaikkan bendera di UTB.
Upacara menaikkan bendera di UBD.
Upacara menaikkan bendera di UBD.
Awang Denis Ho Mun Tai ketika menyerahkan bendera semasa upacara yang diadakan di Politeknik Brunei.
Awang Denis Ho Mun Tai ketika menyerahkan bendera semasa upacara yang diadakan di Politeknik Brunei.

Di majlis itu, penaikan bendera telah disempurnakan oleh Kadet Tentera UTB yang juga menerima bendera daripada tetamu kehormat. Turut mengadakan upacara seumpamanya hari ini adalah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung di kawasan letak kereta universiti berkenaan di Gadong di mana upacara menaikkan bendera dilakukan oleh Kadet Tentera UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Rektor UNISSA, Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad. Politeknik Brunei juga telah mengadakan upacara menaikkan bendera yang diadakan di hadapan kampus tersebut dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Poliktenik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai.

Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar, ketua-ketua jabatan dan sekolah, pensyarah dan kakitangan serta pelajar-pelajar dan juga wakil-wakil pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB). Majlis berkenaan dianjurkan oleh Majlis Pelajar Politeknik Brunei dengan usaha sama Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pusat Perkembangan dan Inovasi Pelajar dan Pasukan Kadet Tentera Politeknik Brunei.

Antara acara lain yang akan dikendalikan oleh Politeknik Brunei bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun ini adalah Majlis Membaca Yasin dan Doa Kesyukuran serta solat Fardu Zuhur yang akan diadakan di Surau Kampus Utama Politeknik Brunei pada 22 Februari nanti. Majlis menaikkan bendera berkenaan bertujuan untuk memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun ini dengan meningkatkan penghayatan terhadap kemerdekaan tanah air serta mengukuhkan semangat patriotik dan cintakan negara serta rasa nasionalisme dalam kalangan kakitangan dan pelajar.