IPU semakin baik di Beaufort

IPU semakin baik di Beaufort

KOTA KINABALU, 4 April (Bernama) – Indeks Pencemaran Udara (IPU) daerah Beaufort semakin baik tengah hari ini dengan mencatatkan bacaan 150 berbanding 161 pagi tadi.

Jurucakap stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah memberitahu Bernama bagaimanapun bacaan itu masih pada tahap tidak sihat berdasarkan skala IPU.

JAS Sabah membuka stesen pengawasan kualiti udara sementara di Beaufort bagi memantau keadaan jerebu dari semasa ke semasa.

Laman sesawang JAS pula melaporkan Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan IPU daripada 60 pagi tadi kepada 68 sehingga 1 tengah hari tadi.

IPU Keningau kekal pada 58, Tawau dan Sandakan masing-masing merekodkan IPU 29 dan 21.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi, Keningau setakat pagi ini merekodkan suhu 35.5 darjah Celsius, Kota Kinabalu (34.1), Ranau (33.0), Sandakan (32.9), Tawau (32.0) dan Kudat (31.8).