IPU tidak sihat di Miri

IPU tidak sihat di Miri

KUALA LUMPUR, 22 April – Jerebu yang dialami di Miri, Sarawak yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak pagi tadi berpunca daripada kebakaran hutan di kawasan Bekenu dan Marudi.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kebakaran itu melibatkan keluasan sepanjang dua kilometer (km) di Bekenu dan 80 hektar di Marudi yang bermula sejak Rabu lepas hingga hari ini.

Beliau juga berkata keadaan jerebu yang dialami di Lembah Klang adalah disebabkan asap kebakaran hutan dan tanah gambut yang berlaku di beberapa kawasan di tengah Semenanjung seperti di Selangor dan Pahang.

“Pelepasan asap kenderaan bermotor dan dari industri di Lembah Klang turut menyumbang kepada keadaan jerebu yang dialami di Lembah Klang sejak semalam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata antara kes kebakaran besar yang masih dalam pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ketika ini ialah kebakaran hutan di tanah gambut di Mukim Beris Lalang dan Mukim Beoh, Bachok di Kelantan seluas 40 hektar yang berlaku sejak 12 Mac lepas.

“Selain itu, kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Selangor seluas 24.8 hektar sejak 2 April lepas.

“Kebakaran paya gambut di Hutan Simpan Gunung Arong, Mersing, Johor seluas 40 hektar sejak 19 April dan kebakaran hutan belukar di Kampung Durian Guling, Marang, Terengganu seluas 21.1 hektar sejak 17 April lepas,” katanya.

Pada masa ini, katanya, tiada pengaruh jerebu merentas sempadan kerana negara masih berada dalam musim peralihan monsun yang dijangkakan sehingga pertengahan Mei ini. – Bernama