Irama Kinabalu tampil kepelbagaian genre muzik

Irama Kinabalu tampil kepelbagaian genre muzik

KOTA KINABALU, 5 Ogos – Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKKN Sabah) akan menganjurkan acara Irama Kinabalu 2016 selama dua hari bermula Selasa depan.

JKKN Sabah dalam kenyataan berkata acara yang akan diadakan di Auditorium Kompleks JKKN Sabah itu akan mengetengahkan persembahan dari kumpulan orkestra muzik tradisional yang unit dan berkualiti menggunakan gabungan instruman yang diperbuat daripada buluh dan gabungan muzik moden.

“Antara objektif program itu adalah untuk menjadikan Sabah sebagai satu pusat penyemarakan seni muzik tempatan bertaraf antarabangsa iaitu memberi ruang dan peluang kepada penggiat muzik tempatan berinteraksi antara satu sama lain.

“Program berkenaan dapat memperlihatkan kepelbagaian genre muzik dari pelbagai etnik yang unik dan bermutu tinggi di samping meningkatkan apresiasi seni muzik yang mendalam di kalangan masyarakat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelbagai pengisian telah disusun termasuk bazar seni industri, pameran alat-alat muzik tradisional Sabah, ‘culture hotspot’, bengkel asas orkestra muzik tradisional dan perhimpunan muzik akustik. – Bernama