Iran: 11 tan air berat dihantar ke Oman

Iran: 11 tan air berat dihantar ke Oman

TEHRAN, 22 Nov – Iran berkata hari ini yang ia telah menghantar 11 tan metrik air berat ke Oman sebagai sebahagian daripada kewajipannya di bawah perjanjian nuklear tahun lepas bersama kuasa-kuasa dunia.

Ali Akbar Salehi, ketua Organisasi Tenaga Atom Iran, berkata air berat itu telah dijual ke negara ketiga yang tidak dinamakan.

Air berat itu bukannya radioaktif, namun ia digunakan dalam jenis-jenis reaktor tertentu yang boleh menghasilkan plutonium yang digunakan dalam bom nuklear.

“Sebanyak 11 tan air berat telah dihantar ke Oman dan parti lain yang telah mengumumkan kesediaan untuk membelinya,” kata Salehi, menurut agensi berita IRIB.

Dalam satu laporan bulan ini, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berkata simpanan air berat Iran telah mencecah 100 kilo di atas paras 130 tan yang ditetapkan dalam perjanjian nuklear bersama kuasa-kuasa dunia yang dikuatkuasakan pada Januari.

Tehran menafikan minggu lalu yang ia telah melanggar persetujuan itu.

“Iran telah memenuhi kewajipannya ke atas simpanan air berat,” kata jurucakap Organisasi Tenaga Atom, Behrouz Kamalvandi pada Jumaat.

“Kami dikehendaki untuk menjual sebarang lebihan lebih 130 tan kepada pasaran antarabangsa, dan sejauh ini kami telah menjual 70 tan,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA