Iran cabuli resolusi PBB – Barat

Iran cabuli resolusi PBB – Barat

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 30 Mac (AFP) – Amerika Syarikat dan kuasa Barat lain percaya pelancaran peluru berpandu balistik Iran baru-baru ini mencabuli resolusi PBB, dan telah meminta Majlis Keselamatan PBB supaya mengatasi isu berkenaan.

Washington, Paris, London dan Berlin berkata demikian dalam sepucuk surat bertarikh Isnin kepada duta Sepanyol Roman Oyarzun Marchesi, yang bertanggungjawab terhadap isu itu dalam majlis.

Kuasa yang sama Julai lalu menandatangani satu perjanjian nuklear bersejarah dengan Tehran untuk mengehadkan program nuklearnya sebagai tukaran kepada pembatalan sekatan.

Surat yang diperoleh AFP berkata, pelancaran peluru berpandu ‘mengugat kestabilan, bersifat provokatif’ dan mengingkari resolusi PBB 2015, nombor 2231.

Resolusi termasuk syarat-syarat perjanjian nuklear.

Perjanjian tersebut membatalkan kebanyakan sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Iran.

Namun ia mengekalkan satu pengharaman ke atas pelancaran peluru berpandu balistik Iran yang berupaya membawa kepala peluru nuklear.

Surat bersama itu berkata, dua jenis peluru berpandu dilancarkan oleh Iran pada Mac (Shahab-3 dan Qiam-1) ‘berupaya membawa senjata nuklear’.

Iran berkata peluru berpandu berkenaan tidak dirangkumi dalam resolusi PBB.

Empat penandatangan surat juga meminta Majlis Keselamatan supaya bertemu dalam format 2231 mereka. Ia adalah satu prosedur yang ditetapkan untuk mengawasi aktiviti nuklear Iran sejak jawatankuasa sekatan lama dibubarkan selepas perjanjian dicapai.

Diplomat berkata mesyuarat dijangka diadakan Jumaat ini. Namun tidak ada keputusan yang kukuh dijangka diambil memandangkan Rusia enggan melaksanakan sekatan baru ke atas sekutunya itu.