Iran hukum mati 20 ‘pengganas’ ahli Sunah

Iran hukum mati 20 ‘pengganas’ ahli Sunah

TEHRAN, 4 Ogos – Iran berkata hari ini ia telah menggantung mati 20 ‘pengganas’ banduan ahli Sunah, dalam satu pelaksanaan hukuman mati terbesar di republik Islam itu dalam masa beberapa tahun.

Lelaki-lelaki berkenaan, yang digantung pada Selasa, telah dituduh melakukan beberapa siri serangan ke atas orang awam dan para pemimpin beragama di rantau Kurdish barat Iran, lapor media kerajaan.

Kementerian perisikan Iran pada awalnya mengeluarkan kenyataan yang memperincikan 24 serangan bersenjata antara 2009 dan 2011, termasuk pengeboman dan perompakan, dipercayai dilakukan oleh kumpulan itu.

Ia mengatakan para pelampau bertanggungjawab atas kematian 21 orang di tiga wilayah barat ketika waktu itu.

“Seramai 102 anggota dan pengikut….kumpulan pengganas telah dikenal pasti….beberapa daripadanya telah terbunuh dalam pertempuran bersenjata bersama pasukan polis dan beberapa daripadanya ditangkap. Sebilangan yang ditangkap telah dijatuhkan hukuman mati sementara yang lainnya dijatuhi hukuman penjara,” tambahnya.

Salah satu plot pertama berkaitan dengan kumpulan terlibat dengan memberi coklat dibubuhi dengan racun kepada para pegawai polis dan kakitangan badan kehakiman, walaupun tidak ada yang terbunuh.

Pendakwa raya, Mohammad Javad Montazeri berkata pesalah, yang beberapa daripadanya datang dari luar negara, mengikuti ideologi ‘takfiri’, satu terma Iran gunakan merujuk kepada kumpulan jihad Sunah. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA