Iran, Hungary cadang kerjasama kuasa nuklear

Iran, Hungary cadang kerjasama kuasa nuklear

BUDAPEST, 19 Feb (Reuters) – Iran telah mencadangkan satu projek dengan Hungary untuk mencipta dan menghasilkan sebuah reaktor nuklear kecil yang boleh dijual di seluruh Asia dan Afrika dan juga dibina di republik Islam, kata pegawai kanan nuklear Tehran semalam.

Ali Akbar Salehi dari Iran berkata beliau menjangkakan satu projek perintis bersama dengan Hungary untuk mereka satu reaktor 25-megawat dan seterusnya sebuah reaktor sehingga 100 megawat, satu saiz yang dikatakannya akan dipasarkan di seluruh Asia dan Afrika.

Beliau memberitahu satu persidangan di Budapest bahawa reaktor kecil itu adalah lebih mampu dibeli oleh negara lebih miskin dan kurang memerlukan air sejuk, satu pertimbangan kritikal di Afrika dan Asia.

“Satu projek khusus yang saya cadangkan adalah melihat sama ada kami boleh mereka bersama satu reaktor kecil 25 megawat,” kata Salehi. “Ia diterima dengan baik dan kami berharap kami boleh memulakan projek ini, bukan sahaja di atas kertas.

“Ia memerlukan banyak kerja saintifik untuk mengeluarkan reka bentuk sedemikian, sudah pastinya kerja keras beberapa tahun. Kami mahu melihat sama ada kami boleh melakukannya.”

Merujuk kepada pembatalan sekatan antarabangsa ke atas ekonomi Iran pada tahun lalu, Salehi menambah: “Kami berhasrat menggunakan sepenuhnya peluang komersial dan teknikal, termasuk aktiviti nuklear aman, hasil daripada perjanjian ini.”

ARTIKEL YANG SAMA