Iran ikut rundingan, tamatkan konflik perang saudara Syria

Iran ikut rundingan, tamatkan konflik perang saudara Syria

WASHINGTON, 28 Okt (AFP) – Amerika Syarikat mengumumkan semalam bahawa Iran mungkin mengambil bahagian dalam rundingan untuk menamatkan perang saudara di Syria dan mengingatkan mengenai tindakan tentera yang meningkat ke atas kumpulan Negara Islam (IS).

Dari segi tentera, Pentagon berkata ia mungkin melancarkan lebih banyak serangan udara dan serangan darat oleh tentera khas ke atas pejuang jihad yang berusaha menubuhkan pemerintahan khalifah Islam di Iraq dan Syria.

Dari segi diplomatik, Jabatan Negara berkata ia menjangka sekutu utama Damsyik, Iran akan dijemput untuk rundingan baru di Vienna pada minggu ini untuk mencari penyelesaian politik.

“Satu jemputan kepada Iran untuk meminta mereka mengambil bahagian, saya fikir pemimpin Iran boleh mengandaikan ia adalah satu jemputan yang ikhlas,” kata jurucakap jabatan, John Kirby.

Pegawai AS enggan berkata kuasa yang mana satu yang memberikan jemputan kepada Tehran dan tidak tahu sama ada Iran akan menerimanya, namun mereka berkata ia dialu-alu untuk hadir jika ia menerimanya.

Rundingan pada Jumaat di Vienna dilihat sebagai satu cara untuk menamatkan perang saudara Syria dengan menubuhkan satu rejim bersepadu sementara dan membuka laluan kepada penyingkiran Presiden basher al-Assad.

Namun, selaras dengan proses politik ini, gabungan pimpinan AS sedang melancarkan satu kempen udara ke atas pejuang IS di Iraq dan Syria.

Memberi keterangan kepada penggubal undang-undang, Setiausaha Negara Ashton Carter berkata tentera AS tidak akan menjauhi “tindakan langsung di darat” sekiranya mereka mendapat peluang untuk menyerang sasaran IS.

Pentadbiran Obama belum menghantar tentera darat untuk menyokong pembangkang dan pemberontak Kurdish yang bertempur menentang IS di Syria, tetapi mempunyai 3,500 tentera di Iraq.

Tentera berkenaan mempunyai peranan “melatih dan menasihat” bertujuan membantu tentera Iraq menentang kumpulan pelampau tetapi baru-baru ini terbabit dalam pertempuran di utara Iraq.

ARTIKEL YANG SAMA