Iran kecam sekatan baru AS

Iran kecam sekatan baru AS

TEHRAN, 18 Jan – Iran mengecam sekatan baru Amerika Syarikat (AS) ke atas program peluru berpandunya hari ini namun terus mara dengan kerjasama antarabangsa selepas perjanjian nuklear bersejarah.

Washington mengumumkan sekatan baru kelmarin, sehari selepas pemerhati atom PBB mengesahkan yang Iran telah mematuhi dengan langkah yang dikenakan oleh perjanjian dengan kuasa-kuasa global yang dicapai di Vienna pada Julai.

Ketua-ketua dunia mengalu-alukan pelaksanaan perjanjian itu, dan diikuti dengan pembatalan sekatan AS dan Eropah, sebagai peristiwa penting dalam diplomasi antarabangsa.

Namun dalam tanda ketegangan berterusan, Perbendaharaan AS mengumumkan ia telah mengenakan sekatan ke atas lima warga Iran dan rangkaian syarikat yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu dan China dalam kaitan dengan program peluru berpandu balistik Iran.

Kementerian luar negeri Iran hari ini mengutuk langkah baru itu sebagai ‘tidak sah’, dengan jurucakap Hossein Jaber Ansari menegaskan program peluru berpandu itu tidak berkaitan dengan isu nuklear.

“Program peluru berpandu Iran tidak pernah direka untuk berkebolehan membawa senjata nuklear,” kata Ansari dipetik sebagai berkata oleh agensi berita ISNA.

Menurutnya Iran akan memberi respons dengan ‘mempercepatkan program peluru berpandu balistiknya yang sah dan merangsang keupayaan pertahanan’.

Menteri Pertahanan Hossein Dehghan mengatakan sekatan baru itu ‘tidak akan beri kesan’, memberitahu agensi berita Fars: “Kami akan membuktikannya dengan mendedahkan pencapaian peluru berpandu baru.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA