Iran, Korea Selatan tingkat dagangan

Iran, Korea Selatan tingkat dagangan

TEHRAN, 3 Mei (AFP) – Iran dan Korea Selatan telah membuat keputusan untuk meningkatkan tiga kali ganda jumlah dagangan tahunan mereka kepada AS$18 bilion, Presiden Hassan Rouhani mengumumkan semalam selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Korea Selatan Park Geun-Hye.

“Kedua belah pihak memutuskan untuk menambah tiga kali ganda jumlah perdagangan masa kini sekitar AS$6 bilion kepada AS$18 bilion,” Rouhani berkata dalam sidang media bersama yang disiarkan di televisyen. “Kami juga berbincang tentang pelancongan, penerbangan langsung antara Seoul dan Tehran dan pelaburan Korea dalam infrastruktur pelancongan Iran yang termasuklah membina hotel,” tambah beliau lagi.

Park adalah presiden pertama Korea Selatan yang mengadakan lawatan ke Iran sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1962 dan ketika Seoul mencari pasaran baru untuk memulihkan kemerosotan dalam hasil eksport.

Lawatan tiga hari beliau diadakan beberapa bulan selepas perjanjian nuklear bersejarah dengan kuasa-kuasa dunia yang telah menarik balik sekatan yang melumpuhkan ekonomi Iran, sebagai ganti membataskan program nuklearnya.

Hassan Rouhani (tengah kiri), dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Park Geun-hye (tengah kanan), berangkat dari Istana Saadabad selepas mesyuarat mereka di Tehran, Iran, Isnin lalu. - AP
Hassan Rouhani (tengah kiri), dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Park Geun-hye (tengah kanan), berangkat dari Istana Saadabad selepas mesyuarat mereka di Tehran, Iran, Isnin lalu. – AP

Park, yang diiringi oleh beberapa orang menteri dan rombongan perniagaan seramai 230 orang juga telah dialu-alukan oleh pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei lewat semalam. Khamenei berkata Tehran dan Seoul akan mendapat manfaat dari ‘hubungan berterusan dan stabil’ bebas dari pengaruh AS.

“Perjanjian dan kontrak antara kedua-dua negara seharusnya dibuat dalam cara yang tidak dipengaruhi oleh cukai asing dan sekatan,” Khamenei memberitahu Park. Ini menurut beliau, adalah ‘kerana ia tidak selayaknya hubungan negara-negara seperti Iran dan Korea Selatan di bawah pengaruh dan kehendak AS.” “Keutamaan kami bukan sahaja perdagangan, tetapi juga kontrak mesti dibuat yang penting bagi sektor infrastruktur dan ekonomi menyeluruh Iran.”

Pada hari pertama lawatan Park, kedua-dua negara berjanji akan membina hubungan dalam sektor tenaga. Tehran berharap bulan ini akan dapat menambah eksport minyaknya ke Seoul kepada 400,000 tong sehari dari 100,000 tong sehari yang pada masa ini, menurut Menteri Minyak Bijan Zanganeh.