Iran memberi amaran kepada Riyadh

Iran memberi amaran kepada Riyadh

BRUSSELS, 17 Feb – Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif semalam memberi amaran kepada Arab Saudi supaya tidak mengerah pasukan tentera ke Syria dengan mengatakan ia akan menyalahi undang-undang antarabangsa, sementara juga menuntut supaya Riyadh menghentikan pengeboman di Yaman.

Zarif, yang negaranya menyokong rejim Presiden Syria Bashar al-Assad, mempersoalkan pengumuman Arab Saudi bahawa ia akan mengerah pasukan darat sebagai sebahagian daripada usaha bersekutu yang diketuai AS untuk memerangi kumpulan IS.

“Pihak yang beroperasi di Syria tanpa kebenaran kerajaan memerintah di Syria adalah menyalahi undang-undang antarabangsa,” dia memberitahu sidang media di Parlimen Eropah di Brussels.

Bercakap kemudian selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Belgium, Didier Reynders, Zarif menambah kata, “kami percaya itu berbahaya. Saya percaya semua pihak seharusnya bergabung untuk mencari penyelesaian aman, bukan mewujudkan lebih banyak bahaya dan lebih banyak perseteruan di rantau itu.”

Menteri Luar Saudi Adel al-Jubeir berkata selepas rundingan di Washington awal bulan ini sebarang operasi akan diketuai AS tetapi Arab Saudi akan berperanan utama.

Iran yang menghantar ribuan ‘penasihat tentera’ ke Syria, juga menyokong rejim Damsyik melalui gerakan Syiah, Hezbollah dan terutama semua militan Syiah Iraq.

Zarif memberitahu Parlimen Eropah bahawa Tehran tidak mempunyai tentera di Syria.

“Iran tidak mempunyai tentera di Syria. Kami mempunyai penasihat ketenteraan di Syria seperti di tempat lain atas jemputan kerajaan,” ujarnya lagi.

Rundingan damai Syria yang mana PBB menjadi pihak perantara ditangguhkan pada awal Februari selepas Syria melancarkan serangan yang disokong oleh pengeboman udara Rusia, ke atas bandar utara, Aleppo.