Iran mungkin terlepas sekatan baru

Iran mungkin terlepas sekatan baru

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 18 Mac (Reuters) – Iran mungkin terlepas sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru, walaupun Majlis Keselamatan PBB mungkin mengeluarkan satu teguran awam kerana melancarkan apa yang digambarkan oleh pegawai Barat sebagai peluru berpandu balistik yang berupaya membawa kepala peluru nuklear, kata diplomat.

Diplomat majlis berkata kes untuk sekatan adalah lemah, bergantung pada tafsiran bahasa yang kabur dalam resolusi yang diterima oleh badan 15-anggota pada Julai lalu, sebahagian daripada perjanjian bersejarah untuk mengawal kerja-kerja nuklear Iran.

Sekatan antarabangsa ke atas Tehran dibatalkan pada Januari di bawah perjanjian nuklear yang dibroker oleh Britain, Perancis, Jerman, China, Rusia dan Amerika Syarikat. Diplomat berkata kesemua enam negara bersetuju ujian peluru berpandu balistik tidak mencabul perjanjian utama.

Bagaimanapun, resolusi Majlis Keselamatan “meminta” Iran supaya mengelak aktiviti selama lapan tahun, termasuk pelancaran, berkaitan dengan peluru berpandu balistik yang mampu menghasilkan senjata nuklear.

Kuasa utama bersetuju permintaan berkenaan tidak terikat dari segi undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah Bab 7 Piagam PBB, yang mengendali sekatan dan pemberian kuasa kepada tentera. Namun negara Barat, yang menganggap bahasa sebagai satu pengharaman, berkata terdapatnya kewajipan politik untuk Iran mematuhi.

Britain berkata pelancaran peluru berpandu menunjukkan “sikap tidak mempedulikan” terhadap resolusi, sementara Perancis berkata ia adalah “kes tanpa kepatuhan.” Amerika Syarikat pada mulanya menganggap ujian satu pencabulan, tetapi telah melembut pendirian mereka, menggelar Iran “mengingkari” resolusi tersebut.

Rusia, yang mempunyai kuasa veto Majlis Keselamatan, berkata Iran tidak mencabul resolusi tersebut. Rusia menentang sekatan PBB baru, tetapi mengakui jika peluru berpandu terbukti mampu melancarkan senjata nuklear, boleh dicadangkan Tehran tidak “menghormati” majlis.