Iran siarkan rakaman pangkalan peluru berpandu bawah tanah

Iran siarkan rakaman pangkalan peluru berpandu bawah tanah

TEHRAN, 14 Okt – Televisyen kerajaan Iran menyiarkan rakaman terowong bawah tanah hari ini yang dipenuhi dengan peluru berpandu dan unit pelancar, yang para pegawai katakan mungkin akan digunakan jika ‘musuh-musuh melakukan kesilapan’.

Gambar berkenaan disiarkan hanya tiga hari selepas Iran menguji peluru berpandu baru jarak jauh yang Amerika Syarikat katakan mungkin telah melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB (UN).

Rakaman itu juga muncul sehari selepas parlimen Iran meluluskan perjanjian nuklear negara pada 14 Julai dengan enam kuasa dunia.

Para pegawai Iran telah mengatakan persetujuan nuklear itu tidak akan menjejaskan pasukan tenteranya, terutamanya program misil balistik. Pelancaran misil dan rakaman bawah tanah diikuti tekanan daripada penggubal undang-undang untuk membuktikan tentera tidak akan dilemahkan dengan perjanjian tersebut.

Terowong berkenaan yang panjangnya kira-kira ratusan meter dan sekitar 10 meter tinggi, dipenuhi dengan misil dan jentera berat.

Brigedier Jeneral Amir Ali Hajizadeh, komander bahagian aeroangkasa Pengawal Revolusi Republik Islam, mengatakan sejumlah besar terowong yang wujud di seluruh negara itu pada kedalaman kira-kira 500 meter. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA