Iran uji peluru berpandu, cabul resolusi PBB

Iran uji peluru berpandu, cabul resolusi PBB

WASHINGTON/PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 8 Dis – Iran menguji satu peluru berpandu balistik jarak sederhana pada bulan lalu yang kelihatannya telah mencabul resolusi Majlis Keselamatan PBB, kata dua orang pegawai Amerika Syarikat (AS) semalam.

Pegawai berkenaan, bercakap dengan syarat nama mereka tidak disiarkan, berkata ujian diadakan pada 21 November.

Salah seorang di antara mereka berkata peluru berpandu bergerak dalam wilayah Iran.

Satu sumber diplomatik Barat berkata pada minggu lalu dengan syarat namanya tidak disiarkan bahawa ujian diadakan berhampiran Chabahar, sebuah bandar pelabuhan berhampiran dengan sempadan Pakistan.

Beliau berkata ia adalah peluru berpandu yang menggunakan cecair dengan jarak 1,900km dan mampu membawa kepala peluru nuklear.

Semua ujian peluru berpandu balistik oleh Iran adalah diharamkan di bawah resolusi Majlis Keselamatan 2010 yang masih sah sehingga satu perjanjian nuklear di antara Iran dan enam kuasa dunia dilaksanakan.

Di bawah perjanjian itu, dicapai pada 14 Julai, kebanyakan sekatan ke atas Iran akan dibatalkan sebagai tukaran kepada kawalan ke atas program nuklearnya.

Menurut satu resolusi pada 20 Julai yang menyokong perjanjian tersebut, Iran masih ‘digesa’ untuk mengelak daripada mengusahakan peluru berpandu balistik bertujuan menghasilkan senjata nuklear sehingga lapan tahun.

Pada Oktober, Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Jerman meminta jawatankuasa sekatan Iran Majlis Keselamatan supaya mengambil tindakan ke atas ujian peluru berpandu oleh Tehran pada bulan itu yang dikatakan oleh mereka mencabul sekatan PBB.

Setakat ini, tidak ada tindakan yang telah diambil oleh jawatankuasa.

Beberapa diplomat Majlis Keselamatan berkata semalam mereka tidak menerima makluman rasmi mengenai pencabulan baru sekatan peluru berpandu PBB ke atas Iran sejak pemberitahuan pada Oktober.

Diplomat bercakap dengan syarat nama mereka tidak disiarkan. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA