Iraq bimbang ‘perang air’ di Ramadi

Iraq bimbang ‘perang air’ di Ramadi

BAGHDAD, 3 Jun (AFP) – Para pegawai Iraq hari ini melahirkan kebimbangan bahawa kumpulan jihad Negara Islam (IS) akan menggunakan empangan yang mereka rampas di Ramadi untuk melancarkan serangan baru ke atas tentera pro-kerajaan yang berusaha untuk merampas semula bandar berkenaan.

Beberapa kemaraan bulan lepas oleh kumpulan IS mencetuskan kesangsian mengenai strategi menentang IS oleh gabungan diketuai Amerika Syarikat, tetapi Washington menegaskan bahawa ia berada di landasan yang betul.

Perdana Menteri Haider al-Abadi berkata selepas kejatuhan Ramadi pada 17 Mei, ibu negeri wilayah Anbar, bahawa anggota tenteranya akan merampas semula kawasan itu dalam tempoh beberapa hari tetapi malangnya operasi berjalan perlahan.

Kumpulan militan IS menggunakan gelombang serangan bom bunuh diri menggunakan trak yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk merampas Ramadi dalam tempoh tiga hari pada bulan lepas.

Dalam tempoh beberapa hari lepas mereka sekali lagi menggunakan senjata ini, yang menurut Abadi mempunyai kesan yang sama seperti “bom nuklear kecil.”

Semalam IS mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan bunuh diri yang mengorbankan 47 orang ke atas sebuah pangkalan polis, yang baru-baru ini dirampas semula sebagai sebahagian usaha mengukuhkan barisan hadapan di Anbar.

Ketika mereka menghampiri ke arah Ramadi, pegawai-pegawai berkata tentera Iraq yang berdepan risiko menjadi sasaran serangan IS yang bertindak menutup pintu empangan di bandar itu untuk mengeringkan Sungai Euphrates.

Langkah itu akan membolehkan para pejuang IS menyeberangi sungai dengan lebih mudah dan menyelinap masuk ke lebih banyak wilayah.

“Kumpulan IS kini melancarkan perang air yang sangat kotor,” kata Sabah Kar-hout, ketua majlis wilayah Anbar.

“Memotong bekalan air adalah jenayah terburuk yang boleh mereka lakukan. Ia akan menyebabkan kanak-kanak, wanita dan warga tua melarikan diri dan membolehkan IS melancarkan serangan,” katanya.