Iraq guna ‘senjata pintar’ perangi IS

Iraq guna ‘senjata pintar’ perangi IS

BAGHDAD, 7 Sept (AFP) – Iraq melancarkan serangan jet pejuang F-16 yang diperoleh dari Amerika Syarikat ke atas kumpulan Negara Islam (IS) bagi kali pertama, menurut komander tentera udara semalam.

“Lima belas serangan udara dijalankan sejak empat hari lepas,” Staf Leftenan Jeneral Anwar Hama Amin memberitahu AFP pada sidang media di Baghdad.

“Senjata pintar” digunakan dalam serangan itu, kata Amin, tanpa menyatakan jenisnya.

Menteri Pertahanan Khaled al-Obaidi memberitahu sidang media bahawa serangan berjaya mencapai “keputusan penting” dan jet pejuang terbabit akan “memberikan impak dalam pelaksanaan operasi masa depan.”

Amin memberitahu sidang media bahawa serangan jet pejuang F-16 dilakukan di wilayah Salaheddin dan Kirkuk, di bahagian utara Baghdad.

Empat pesawat pertama F-16 Iraq tiba dari Amerika Syarikat pada pertengahan Julai, dari sejumlah 36 kesemuanya yang Washington sudah persetujui untuk menjualnya kepada Baghdad.

Pembelian pesawat tersebut menjadi punca ketegangan, dengan Baghdad berulang kali mengadu bahawa ia tidak dihantar tepat pada masanya.

Keadaan tidak selamat di Iraq, di mana IS menguasai wilayah yang signifikan pada Jun 2014, menangguhkan [penghantaran jet pejuang terbabit, dengan kumpulan pertama dihantar ke Arizona, di mana para juruterbang Iraq menjalani latihan.

ARTIKEL YANG SAMA