IRDA memasuki gelombang ketiga pertumbuhan

IRDA memasuki gelombang ketiga pertumbuhan

JOHOR BAHARU, 26 Julai (Bernama) – Iskandar Malaysia kini mungkin melalui tempoh yang perlahan, namun tidak menimbulkan sebarang masalah berdasarkan momentum pesat yang dialami oleh wilayah ekonomi itu sejak lapan tahun lepas.

Hartanah hanya merupakan satu subbidang sektor yang mengalami kelembapan manakala sektor lain masih bergerak pada kadar yang konsisten seperti yang dirancang.

Ini semua adalah hasil daripada cerita kejayaan ‘menjual impian’ di peringkat domestik dan antarabangsa pada peringkat awal penubuhannya, yang kini bukan lagi sekadar ‘mimpi’ berdasarkan pelbagai tawaran dan peluang yang disediakan.

Sambil memperakui bahawa usaha memperkenal Iskandar Malaysia pada peringkat awal sangat sukar, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim, berkata kejayaan mengetengahkan daya tarikan Iskandar Malaysia dengan pelbagai elemen kepada pelbagai peringkat merupakan usaha yang sangat penting bagi IRDA.

“Sepanjang sembilan tahun lepas, kami dapat simpulkan bahawa Iskandar Malaysia telah berkembang secara konsisten dan berkualiti. Itulah yang sangat penting kepada kami.

“Konsisten dan kualiti menunjukkan Iskandar Malaysia terus kompetitif dengan hakikat bahawa kami dapat mengetengahkan Iskandar Malaysia daripada pelbagai elemen yang menjadikan rantau ini wilayah menarik untuk pelaburan, bekerja serta tempat kediaman,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Menyentuh mengenai cabaran dalam membangunkan Iskandar Malaysia, Ismail berkata mengimbangi antara pembangunan dan mengekalkan agenda mesra alam dan kelestarian merupakan tugas yang sukar buat IRDA.

“Pada peringkat awal, cabarannya banyak melibatkan usaha untuk memenangi hari dan minda orang ramai dan komuniti perniagaan bahawa Iskandar Malaysia sangat penting untuk mereka… dan kami sudah melepasi fasa itu.

“Cabaran hari ini pula berkisar kepada sejauh mana kami dapat meyakinkan masyarakat apa yang akan ditawarkan di Iskandar Malaysia (dan) apa lagi yang akan dibangunkan oleh kerajaan dari segi ekosistem yang menjadikan Iskandar Malaysia lebih kompetitif serta peluang yang tersedia,” katanya.

Dengan itu, mereka akan mendapat akses kepada pasaran, peluang untuk wujudkan aktiviti ekonomi dalam kelompok itu, bentuk kualiti hidup yang akan disediakan di situ bagi membolehkan penghuninya bukan sahaja dapat menikmati tahap pendapatan yang tinggi malah kualiti hidup yang sama baik.

Bagi sektor ekonomi, Ismail berkata sebahagiannya sudah pun bergerak mengikut rentak masing-masing, ada yang ketinggalan, dan menilai kembali perkembangan lain sebelum memulakan projek.