IRDA meterai MoU dengan Metro TV

IRDA meterai MoU dengan Metro TV

JAKARTA, 27 Sept – Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) hari ini mengumumkan kerjasamanya dengan saluran berita televisyen Indonesia, Metro TV sebagai sebahagian daripada kempen media bersepadunya untuk mempromosikan Iskandar Malaysia di Indonesia bersempena dengan ulang tahun ke-10 wilayah ekonomi itu.

Ketua Eksekutif IRDA Datuk Ismail Ibrahim berkata melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan PT Media Televisi Indonesia, yang mengendalikan Metro TV, IRDA akan dapat mencapai segmen pasaran Indonesia yang lebih besar. “Melalui penglibatan media, kami percaya ia juga membolehkan kami mencapai segmen kelas pertengahan hingga mewah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai peluang di Iskandar Malaysia, bukan sahaja dalam kalangan komuniti perniagaan tetapi juga pengunjung yang berpotensi sama ada untuk kerja, riadah, pendidikan atau perkhidmatan penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama di sini hari ini.

Pada pemeteraian MoU itu di sini, Ismail menandatanganinya bagi pihak IRDA manakala Metro TV diwakili oleh Naib Presiden Pengarah PT Media Televisi Suryopratomo.

Sementara itu, Ismail berkata Iskandar Malaysia telah memulakan fasa ketiga pembangunannya yang meliputi 20 tahun dari 2006, dengan fasa akhir bermula tahun ini yang menumpukan kepada usaha dan inisiatif untuk ‘Mengekalkan dan Inovasi’. “Iskandar Malaysia akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10 pada November 2016 dan berada pada landasan untuk mencapai matlamat jangka panjang.

“Kami yakin wilayah itu akan terus menarik aliran masuk pelaburan yang stabil dengan lebih banyak projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat di wilayah itu,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA