IRDA yakin capai sasaran

IRDA yakin capai sasaran

JAKARTA, 2 Okt (Bernama) – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yakin dapat mencapai sasaran menarik pelaburan sebanyak RM383 bilion menjelang 2025.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata, ini kerana IRDA telah berjaya menarik pelaburan purata RM25 bilion setahun ke kawasan yang dikenali sebagai Iskandar Malaysia itu.

“Kita sangat optimistik akan mencapai sasaran pelaburan setiap tahun, malah pada tahun lepas kita berjaya menarik pelaburan lebih RM25 bilion dan tahun ini ia akan melebihi RM25 bilion,” katanya kepada pemberita selepas taklimat IRDA kepada ahli perniagaan di sini, Jumaat.

Katanya, jumlah pelaburan di Iskandar Malaysia sejak Januari 2006 sehingga Jun 2015 ialah RM172 bilion dengan 65 peratus daripadanya pelaburan tempatan.

Beliau berkata, bagi pelaburan asing, Singapura masih menjadi pelabur teratas dengan pelaburan sebanyak RM146 bilion diikuti China (RM8 bilion) dan Amerika Syarikat, RM6 bilion.

Walaupun Indonesia belum tersenarai sebagai pelabur 10 teratas tetapi IRDA yakin ahli perniagaan negara itu akan merebut peluang pelaburan di kawasan itu untuk mengembangkan sayap perniagaan mereka, katanya.

Ismail berkata, setakat ini pelaburan Indonesia berjumlah RM1.2 bilion dan IRDA akan memperhebatkan lagi promosi Iskandar Malaysia ke bandar utama republik ini termasuk Yogjakarta, Surabaya dan Medan.

“Kita melihat Indonesia sebagai sangat berpotensi dan kita menerima maklum balas yang positif dan ada yang telah melabur, ada yang belum membuat keputusan dan ada yang sedang mendengar mengenai Iskandar Malaysia,” kata beliau.

Ismail berkata, IRDA juga berusaha menarik pelaburan dari negara ASEAN lain sebagai komitmen gagasan Komuniti Asean yang menjadi tema ASEAN oleh Malaysia sebagai pengerusi tahun ini.

Iskandar Malaysia adalah sebuah kawasan pembangunan metropolis bertaraf antarabangsa di kawasan seluas 2,300 kilometer persegi di selatan Johor dengan semua laluannya akan menghubungi jalan utama.

ARTIKEL YANG SAMA