Ireland kejutkan Itali

Ireland kejutkan Itali

LILLE, 23 Jun (AFP) – Robbie Brady bagaikan berada di alam fantasi apabila jaringan kemenangannya membawa Republik Ireland mara ke pusingan 16 terakhir hasil kemenangan 1-0 ke atas Itali dalam aksi terakhir Kumpulan E Euro 2016, awal pagi tadi.

“Inilah sebab adanya impian. Kami sudah melaksanakan tugas kami untuk semua yang hadir bagi menyaksikan perlawanan kami dan seluruh penyokong Ireland di seluruh dunia.

“Ia malam yang membanggakan bagi saya dan seluruh pasukan,” kata Brady yang menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-85.

Kemenangan ke atas Itali menyaksikan Ireland mara ke pusingan kalah mati selepas muncul salah satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik kumpulan.

Gol Brady hadir selepas menerima hantaran daripada Wes Hoolahan yang beberapa saat sebelum itu terlepas peluang terbaik bagi meletakkan Ireland di depan.

Republik Ireland meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut. – AFP
Republik Ireland meraikan kemenangan mereka dalam perlawanan tersebut. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

“Saya fikir peluang yang diperoleh Wes adalah detik penting tetapi bola kembali di kakinya. Dia menunjukkan kemampuan sebenarnya apabila melakukan hantaran yang menakjubkan.

“Bola tepat di kepala saya dan saya melakukan yang terbaik untuk tidak melepaskan peluang. Ia adalah peluang terakhir kami untuk mara ke pusingan seterusnya, jadi kami bekerja keras.

“Kami terlepas peluang beberapa kali dan begitu juga Itali namun kami yang menjaringkan gol. Kami memang berhak untuk menang,” kata Brady. Ireland akan bertemu tuan rumah, Perancis dalam perebutan tempat ke suku akhir di Lyon, Ahad ini.