Ireland mara ke pusingan akhir Kejohanan Eropah

Ireland mara ke pusingan akhir Kejohanan Eropah

DUBLIN, 18 Nov (AFP) – Martin O’Neill pantas menghamburkan pujian buat anak buahnya selepas Ireland melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Eropah tahun depan.

Pengurus Ireland itu melakar senyuman bangga selepas kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Bosnia-Herzegovina sekali gus mencatat agregat 3-1 untuk membolehkan mereka beraksi di Perancis.

Gol setiap babak menerusi penyerang Stoke City Jon Walters membezakan kedua-dua pasukan pada perlawanan itu tetapi O’Neill memuji usaha keras pasukannya sepanjang kempen terutama apabila mereka hampir tersingkir, Jun lalu gara-gara seri 1-1 dengan Scotland di Dublin.

Sejak itu, Ireland menundukkan Gibraltar, Georgia dan juara dunia, Jerman bagi menduduki tangga ketika Kumpulan D sebelum menamatkan kempen kelayakan menerusi kemenangan di Lansdowne Road.

“Tidak ada sebab untuk saya tidak berbangga dengan pasukan ini,” kata O’Neill. “Mereka kelompok pemain yang hebat dan berjuang bermati-matian demi negara. Semangat seperti itu sangat penting.

“Mereka sudah memberikan segala-galanya dan saya tidak fikir mereka masih ada aksi yang belum dipersembahkan.

“Perlawanan menentang Scotland yang sepatutnya kami menang memberi tekanan ketika masih berbaki empat perlawanan. Tapi kami masih boleh menentukan nasib sendiri.

“Kami duduk berbincang dan sedar masa depan pasukan ini terletak ditangan kami sendiri. Ia bermakna kami perlu menang dua perlawanan seterusnya, Gibraltar dan Georgia serta menang satu daripada dua perlawanan terakhir.