Ireland tidak gentar

Ireland tidak gentar

PARIS, 12 Nov (AFP) – Republik Ireland berharap dapat melepasi perlawanan pertama play-off Euro 2016 menentang Bosnia-Herzegovina di tempat lawan, awal pagi Sabtu ini sambil sedar peluang mereka untuk ke pusingan akhir masih lagi cerah.

Skuad kendalian Martin O’Neill itu akan ke Zenica sebelum melayan kunjungan Bosnia di Dublin, Isnin ini, tetapi masalah kecederaan serta penggantungan pemain membuatkan jurulatih Ireland itu pening.

“Kami tidak boleh melakukan sebarang kesilapan, perlawanan itu pasti sukar dan anda sama sekali tidak boleh mengharapkan ada kemenangan percuma dalam aksi peringkat tinggi seperti ini,” kata O’Neill yang perlu akur dengan kehilangan Jonathan Walters, John O’Shea serta penjaga gol Shay Given.

Penjaga gol Newcastle United Rob Elliot dan penyerang Southampton Shane Long, penjaring gol kemenangan ketika bertemu Jerman bulan lalu, turut berdepan masalah kecergasan.

Martin O’Neill (kanan) berjabat tangan dengan rakan sejawatnya dari Bosnia Herzegovina, Mehmed Bazdarevic selepas undian play-off Euro 2016 di ibu pejabat UEFA di Nyon, Switzerland, 18 Oktober lalu. – Reuters
Martin O’Neill (kanan) berjabat tangan dengan rakan sejawatnya dari Bosnia Herzegovina, Mehmed Bazdarevic selepas undian play-off Euro 2016 di ibu pejabat UEFA di Nyon, Switzerland, 18 Oktober lalu. – Reuters

Begitupun, O’Neill berkata: “Kebangkitan yang sedang dicipta lawan langsung tidak menggusarkan saya. Kami sudah berusaha membawa pasukan ke peringkat ini dan kami tidak akan mensia-siakan peluang ini dengan mudah. “Kami berhak untuk berada di sini terutama selepas melihat keputusan perlawanan kami menentang juara dunia serta cara kami mengumpul mata. Kami bangga dan gembira berada di peringkat ini.”

Ketika Ireland menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Jerman dan Poland dalam Kumpulan D kempen kelayakan Euro 2016, Bosnia pula menduduki tempat sama di belakang Wales dan Belgium dalam Kumpulan B.

Skuad kendalian Mehmed Bazdarevic itu akan menampilkan pemain seperti penjaga gol Chelsea Asmir Begovic serta gandingan pemain Roma Miralem Pjanic dan Edin Dzeko.

ARTIKEL YANG SAMA