Irma beransur lemah

MIAMI, 11 Sept – Taufan Irma, yang telah menumbangkan kren, membanjiri jalan-jalan raya dan mengakibatkan jutaan penduduk tanpa bekalan elektrik, beransur lemah hari ini dan masih membadai sebahagian kawasan Florida dalam laluannya ke utara.

Kekuatan Irma semakin berkurangan menjadi taufan Kategori 1 awal hari ini dan peramal kaji cuaca menjangkakan ia akan bertukar menjadi ribut tropika pada pagi itu, namun memberi amaran ribut berbahaya mungkin berterusan di beberapa kawasan walaupun selepas keganasan Irma berlalu.

Kelajuan angin kencang telah berkurang kepada 75bsj pada 5 pagi waktu tempatan (0900 GMT) ketika Irma merempuh ke Florida, di mana lebih enam juta orang telah diarahkan untuk berpindah dalam satu pemindahan terbesar dalam sejarah AS.

Pusat ribut besar telah diramalkan untuk bergerak berhampiran pantai barat laut Florida sebelum menyeberangi masuk ke negeri Georgia hari ini.

Pusat Taufan Kebangsaan memberi amaran yang puting beliung mungkin berlaku di timur laut Florida serta sebahagian tenggara Georgia dan South Carolina pada sebelah malamnya.

Seorang lelaki berjalan meredah jalan yang dibanjiri selepas Taufan Irma membadai kawasan itu pada 11 September di Naples, Florida. – AFP

Amaran ribut ‘mengancam nyawa’ masih dikekalkan di beberapa kawasan selatan dan tengah Florida, termasuk rantau Teluk Tampa yang ramai penduduknya.

“Kira-kira enam inci air deras boleh menjatuhkan anda,” gabenor kerajaan, Rick Scott mentweet berikutan kemas kini Taufan Irma.

“Kekal berada di dalam. Kekalkan keselamatan. Gabungan ribut berbahaya dan ombak akan mengakibatkan kawasan biasanya kering berhampiran pantai akan dibanjiri,” tambahnya.

Selepas mengakibatkan jejak kemusnahan dan kematian menerusi Caribbean, Irma membunuh tiga orang apabila ia melanda rangkaian pulau selatan Florida Keys sebagai ribut kencang Kategori 4 kelmarin.

Lebih empat juta pelanggan tanpa bekalan kuasa di seluruh negeri itu, menurut Pengurusan Bahagian Kecemasan Florida. Florida Power and Light berkata ia telah ‘menutup dengan selamat’ salah satu daripada dua reaktor nuklearnya di kilang tenaga Turkey Point. – AFP