Ironkids tarik minat 200 peserta cilik

Ironkids tarik minat 200 peserta cilik

LANGKAWI, 11 Nov – Ironkids, acara pembuka tirai sempena Ironman Malaysia Langkawi 2016, berjaya menarik penyertaan kira-kira 200 peserta cilik di Pantai Cenang di sini hari ini.

Kali kedua diadakan sejak tahun lepas, acara itu menyaksikan penyertaan anak para atlet serta penduduk tempatan.

Ironkids yang bermula 8 pagi tadi dibahagikan kepada dua kategori iaitu lima hingga 10 tahun acara larian sejauh 500m manakala 11 hingga 12 tahun, sejauh satu kilometer di sekitar Pantai Cenang.

Juara dua kali Ironman Malaysia Langkawi kategori profesional wanita, Diana Riesler dari Jerman dan naib juara kategori profesional lelaki Fredrik Croneborg dari Sweden turut hadir memeriahkan acara itu.

Sementara itu, lebih 1,000 atlet dari 63 negara akan berentap dalam acara utama Ironman Malaysia Langkawi 2016 yang melibatkan acara renang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km. – Bernama

Sebahagian daripada aksi peserta cilik yang menyertai Ironkids ketika melakukan larian sejauh 1 km di sekitar Pantai Cenang. - Bernama
Sebahagian daripada aksi peserta cilik yang menyertai Ironkids ketika melakukan larian sejauh 1 km di sekitar Pantai Cenang. – Bernama