IRS nafi tuduhan ‘punca leukemia’

IRS nafi tuduhan ‘punca leukemia’

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 20 Jan – Sebuah syarikat tempatan, International Reliability Services (IRS) Sdn Bhd yang berpangkalan Kuala Belait menyatakan rasa kesal akan tindakan pihak tidak berwajib menyelar reputasi baik mereka dengan tuduhan dan anggapan tidak berasas dalam sebuah laman web rangkaian sosial.

Dalam salah satu ruangan forum di laman web tersebut, seorang pengguna menulis bahawa Syarikat IRS bertanggungjawab ke atas keadaan yang menimpa salah seorang daripada ahli keluarganya yang disahkan menghidap leukemia, di mana syarikat tersebut beroperasi berhampiran dengan kediaman pengguna tersebut.

“Walaupun berkemungkinan terdapat banyak faktor yang menyebabkan kanser ini, kita tidak boleh menolak kemungkinan tinggi bahawa sinar gamma atau x-ray telah digunakan semasa melakukan ujian radiografi atau bahkan daripada kebocoran sumber sinaran yang digunakan untuk menyimpan di premis syarikat itu,” pengguna itu menulis, merujuk kepada salah satu perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat itu.

Pengarah Urusan IRS, Pengiran Abdul Jaman bin Pengiran Ali Omar ketika ditemui Media Permata meluahkan rasa kesalnya terhadap dakwaan yang tidak berasas itu.

Menurut beliau, antara perkhidmatan yang disediakan oleh Syarikat IRS memang adalah ‘Radiographic Testing’, tetapi pihak syarikat tidak ada dan tidak pernah melakukan ataupun menggunakan peralatan sebegitu di sini bagi sebarang jenis ujian x-ray atau sinar gamma.

Katanya, sebarang jenis kerja atau pengendalian yang dimaksudkan dilakukan di tempat lain dan semestinya bukan di Ibu Pejabat IRS kerana di sini hanya menguruskan mana-mana urusan pentadbiran dan apa yang diberikan oleh si penulis tersebut menunjukkan gambar yang dimaksudkan adalah sebahagian daripada gambar katalog bagi tujuan pengiklanan untuk memaklumkan kepada orang ramai serta pelanggan akan ketersediaan peralatan syarikat.

“Apa yang ditulis itu boleh membawa mudarat kepada operasi perniagaan kami dan tindakan beliau mengongsikannya di laman web tersebut tidak membawa sebarang manfaat malah akan menyebabkan syarikat ini kehilangan kepercayaan dengan pelanggan-pelanggan kami,” tambah beliau lagi.

Media Permata juga diberitahu bahawa semua kakitangan di IRS Sdn Bhd turut berasa sedih akan situasi yang menimpa keluarga berikut, namun tindakan mencemarkan nama baik syarikat itu di laman web portal awam amat mengecewakan.

Dalam masa yang sama, syarikat IRS Sdn Bhd juga telah mengesahkan bahawa selepas lawatan oleh pihak Brunei Shell Petroleum dan kakitangan dari Unit Kualiti Keselamatan Radiasi, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Tenaga dan Industri di bawah Jabatan Perdana Menteri, tiada bukti radiasi dikesan di kawasan premis syarikat dan IRS Sdn Bhd adalah syarikat yang mempunyai sijil khas dalam pengendalian ‘industrial radiography’.

ARTIKEL YANG SAMA