IS keluarkan video pembunuhan pengintip

IS keluarkan video pembunuhan pengintip

BAGHDAD, 12 Mei (AFP) – Kumpulan IS telah mengeluarkan satu video menunjukkan lima yang didakwa “pengintip” ditembak mati di Iraq oleh lelaki-lelaki muda dari orang ramai yang berkumpul bagi hukuman itu.

Video dalam jangka masa 12 minit itu dikeluarkan pada media sosial kelmarin yang meniru rancangan televisyen melibatkan penyertaan, di mana ahli awam ditemu bual dan diajak turut serta.

Dihasilkan oleh cawangan kumpulan itu di wilayah Nineveh, di mana Mosul adalah ibu negerinya, video itu bermula dengan rakaman kemusnahan akibat serangan udara yang diketuai oleh Amerika Syarikat.

Ia juga memperlihatkan mayat kanak-kanak.

Video itu kemudian beralih pada “pengakuan” lima lelaki dari Mosul, menerangkan bagaimana mereka menyampaikan maklumat mengenai aktiviti dan kedudukan penjihad itu di Nineveh, yang sebahagian besarnya masih dikawal oleh IS.

Lima penghukum IS kemudian dilihatkan berdiri di belakang lima tertuduh itu yang berpakaian seluruh jingga, memegang pisau.

Seorang pejuang kemudian bercakap kepada pemerhati: “Umat Muslim sekalian, siapa dalam kalangan kamu mahu untuk lebih dekat dengan tuhan melalui orang murtad tidak beriman ini?”

Semua tangan ke atas, dia kemudian memilih “sukarelawan” dan lima pejuang IS itu digantikan dengan orang awam yang mereka berikan pistol untuk menembak orang-orang yang tertuduh dari belakang kepala.

Para penduduk seterusnya ditemu bual mengenai pelaksanaan hukuman kumpulan itu, dengan seorang mengatakan dia berharap terpilih untuk ikut serta.

Video itu dikeluarkan pada hari sama IS mengaku bertanggungjawab bagi tiga pengeboman di Baghdad yang telah mengorbankan 94 orang, siri serangan paling dahsyat melanda ibu negeri Iraq tahun ini.

Kebanyakan mangsa dalam serangan itu ialah orang awam dan termasuk kebanyakan wanita dan kanak-kanak.