IS latih generasi kedua

IS latih generasi kedua

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mendedahkan terdapat dua kem latihan di Syria yang telah dikenal pasti merekrut dan melatih kanak-kanak dalam perjuangan kumpulan militan IS atau juga dikenali sebagai Daesh.

Difahamkan terdapat kira-kira 500 kanak-kanak mengikuti latihan di kem di negara berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata kem latihan itu dibina bagi melatih generasi baharu Daesh.

“Salah sebuah kem yang dibina di sana (Syria) adalah khusus bagi kanak-kanak dari Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Indonesia yang menggunakan Bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantara mereka.

“Manakala sebuah lagi kem yang ditubuhkan adalah untuk kanak-kanak dari Kazakhstan,” katanya ketika ditemui pemberita pada ‘Seminar Negara Islam: Jihad vs Militan’ di Universiti Teknologi Malaysia, di Jalan Semarak, di sini, hari ini.

Ayub Khan berkata kanak-kanak berkenaan telah didedahkan dengan doktrin kumpulan itu seawal umur dua tahun lagi dan secara tidak langsung akan melahirkan anggota militan yang berbahaya pada usia yang muda.

“Mereka yang menyertai kem latihan ini antaranya adalah anak kepada ahli kumpulan militan itu sendiri sama ada yang dibawa dari negara asal mahupun yang lahir di sana.

“Kanak-kanak ini juga cekap menggunakan senjata bagi tujuan mempertahankan diri jika mereka diancam,” katanya.

Beliau berkata kem latihan itu dilaporkan telah wujud sejak tiga tahun lepas di negara berkenaan.