IS mengaku serang masjid Syiah di Bangladesh

IS mengaku serang masjid Syiah di Bangladesh

DHAKA, 27 Nov (Reuters) – Kumpulan IS mengaku bertanggung jawab melancarkan serangan ke atas sebuah masjid Syiah di Bangladesh semalam, membunuh seorang dan mencederakan tiga orang lagi ketika mereka sedang menunaikan sembahyang, serangan kedua ke atas masyarakat kecil Syiah di negara itu dalam tempoh sebulan.

Saksi-saksi berkata tiga lelaki muda menyerbu masuk ke masjid itu di barat laut daerah Bogra dan sembarangan menembak para jemaah.

“Para penyerang memasuki masjid dan melepaskan tembakan ke arah para jemaah selepas mengunci pagar utama dan kemudian melarikan diri segera selepas menembak,” kata pegawai polis Ahsan Habib.

Dua orang dari dua buah kampung berhampiran telah ditangkap untuk disoal siasat berhubung serangan itu, menurut seorang lagi anggota polis Arifur Rahman.

Kesan darah dilihat di atas lantai sebuah masjid Syiah selepas insiden tembakan di Bogra, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara Bangladesh, Dhaka. - AFP
Kesan darah dilihat di atas lantai sebuah masjid Syiah selepas insiden tembakan di Bogra, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara Bangladesh, Dhaka. – AFP

Perkhidmatan pengawasan SITE mengatakan kumpulan IS mengaku bertanggung jawab atas serangan itu, sama seperti yang pernah dilakukannya dalam pengeboman sebelumnya ke atas tanah perkuburan terbesar Syiah di negara itu.

Bangladesh, yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam telah menyaksikan keganasan pejuang Islam dalam beberapa bulan kebelakangan dengan dua warga asing, empat penulis sekular dan seorang penerbit dibunuh tahun ini.

Ketegangan meningkat sejak Perdana Menteri Sheikh Hasina melancarkan tindakan ke atas militan, yang membawa kepada beberapa pemimpin dibicarakan atas jenayah perang yang dilakukan ketika perang kemerdekaan 1971.

Kira-kira dua belas orang paderi Kristian di utara juga menerima ancaman mati, seminggu selepas seorang doktor Itali yang bekerja sebagai pendakwah ditembak dan tercedera, menurut polis semalam. “Kami telah pun meningkatkan keselamatan sekitar gereja-gereja,” menurut ketua polis tempatan Abdullah Al Faruk.

ARTIKEL YANG SAMA