IS minta umat Islam berjihad ke atas Rusia, AS

IS minta umat Islam berjihad ke atas Rusia, AS

BEIRUT, 14 Okt – Kumpulan Negara Islam (IS) semalam meminta umat Islam untuk melakukan jihad ke atas Rusia dan AS, ketika Moscow mengumumkan ia meningkatkan kempen udaranya menentang militan itu di Syria.

Kenyataan itu dibuat ketika Presiden Rusia, Vladimir Putin mengkritik Washington kerana keengganan bekerjasama dengan Moscow dalam kempen Syria, yang mempunyai kesan dramatik meningkat.

“Rusia akan dikalahkan,” kata jurucakap IS, Abu Mohamed al-Adnani dalam rakaman yang diposkan dalam talian, menggesa “Umat Islam di tempat-tempat lain untuk melancarkan jihad menentang Rusia dan AS,” yang dikatakannya melakukan “perang salib ke atas umat Islam”.

IS berusaha bukan hanya untuk menggulingkan presiden Syria, Bashar al-Assad tetapi juga bersaing bersama sekutu Al-Qaeda, Al-Nusa bagi penguasaan tertinggi jihad di negara itu. Ketua Al-Nusa, Abu Mohamed al-Jolani juga mengancam Moscow, yang berkata perang udaranya akan mendapat natijah.

“Jika tentera Rusia membunuh rakyat Syria, maka bunuhlah orangnya,” katanya lewat Isnin lalu dalam gesaan untuk berjihad di Caucasus. “Dan jika mereka membunuh tentera kami, maka kami akan membunuh tentera mereka.

“Peperangan di Syria akan menjadikan Rusia melupakan mimpi ngeri yang mereka alami di Afghanistan,” kata Jolani, yang merujuk kepada usaha Soviet untuk menakluk negara itu pada 1980an.

Rusia semalam berkata tentera udaranya telah menyerang 86 sasaran “pengganas” di Syria dalam tempoh 24 jam – jumlah tertinggi sehari sejak ia melancarkan kempen pengebomannya pada 30 September lalu, antaranya adalah sasaran IS. –AFP