IS putuskan laluan bekalan

IS putuskan laluan bekalan

BEIRUT, 11 Mei (AFP) – Kumpulan Islamic State semalam memutuskan laluan bekalan utama di antara Homs di Syria dan tapak warisan dunia Palmyra beberapa bulan selepas tentera menawan semula bandar lama itu, kata pengawas.

IS “berjaya memutuskan jalan bekalan di antara Homs dan Palmyra berhampiran lapangan terbang Tayfur selepas serangan dilancarkan dari timur Homs,” kata Balai Cerap Syria untuk Hak Asasi Manusia.

Kedua-dua bandar dikawal oleh rejim selepas tentera menawan semula Palmyra tapak warisan dunia UNESCO – daripada kumpulan jihad pada akhir Mac, disokong oleh serangan udara Rusia.

Memutuskan jalan “dilakukan sebagai sebahagian daripada serangan terbesar IS sejak tentera menawan semula Palmyra dengan sokongan Rusia” pada 27 Mac, kata ketua Balai Cerap Rami Abdel Rahman.

“Pertempuran ganas di antara tentera rejim dan Daesh sedang berterusan,” kata beliau, menggunakan akronim Arab untuk kumpulan jihad itu.

“Daesh mengepung Palmyra dari semua sudut kecuali di kawasan barat daya,” kata Abdel Rahman, menambah jarak paling dekat IS ke bandar adalah 10 kilometer.

IS dan rejim mengawal sebahagian daripada kawasan di antara Homs dan Palmyra.

Jalan yang diputuskan oleh IS adalah “jalan utama di antara Homs dan Palmyra tetapi bukan satu-satunya jalan kerana terdapatnya jalan lain” di antara kedua-dua bandar, kata Abdel Rahman.

Perang saudara Syria telah membunuh lebih daripada 270,000 orang dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal sejak ia bermula dengan bantahan anti-rejim pada 2011.

Balai Cerap yang berpangkalan di Britain itu mengumpul maklumatnya daripada pelbagai rangkaian sumber di dalam Syria.