ISB adakan Hari Pembangunan Sukan Ragbi

ISB adakan Hari Pembangunan Sukan Ragbi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Dalam usaha untuk memberikan latihan dan pengetahuan yang lebih mendalam dan teratur mengenai sukan ragbi di Negara Brunei Darussalam, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) hari ini buat julung-julung kalinya telah mengadakan Hari Pembangunan Sukan Ragbi dengan penampilan pasukan ragbi yang dikenali sebagai Saracens dari United Kingdom.

Hadir di acara yang telah berlangsung di padang IGS pagi tadi ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama David Ian Campbell serta Presiden Brunei Rugby Football Union, Dr Haji Kamaruddin bin Dato Seri Paduka Haji Talib.

Acara pagi tadi itu menyaksikan pemain-pemain daripada pasukan Saracens FC melatih pemain-pemain muda daripada sekolah-sekolah yang terdiri daripada IGS, Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Berakas, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Sekolah Menengah Sulan Muhammad Jamalul Alam, Sekolah Menengah Sharif Ali dan Kolej Sultan Omar Ali Saifudien. Tuan Yang Terutama David Ian Campbell semasa ditemui mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan Saracens FC kerana telah meluangkan masa mereka dalam membantu membangunkan sukan ragbi dan memberi sokongan padu terhadap pemain-pemain ragbi muda di negara ini.

Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim di acara itu.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim di acara itu.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim bergambar ramai (empat dari kanan).
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim bergambar ramai (empat dari kanan).

Saracens merupakan kumpulan ragbi dari London dan mereka dikenali sebagai pasukan terkenal dan teratas di England. Kelab pasukan ini telah ditubuhkan pada tahun 1976 sebagai Kelab Bola Saracens dan sekarang dikenali sebagai Saracens Ltd. “Baru-baru ini Saracens telah memenangi Liga Perdana Ragbi dan mereka telah mula mengharumkan nama negara dari sukan ragbi sejak kebelakangan ini.”

Di samping itu juga, pasukan Saracens juga mengikuti Liga Perdana Aviva dan pemenang bagi Anglo-Welsh Cup. Mereka juga bersaing di Liga Eropah Ragbi.

Dr Haji Kamaruddin pula berharap agar Hari Pembangunan Ragbi yang telah diadakan ini dapat memberikan inspirasi dan dorongan kepada para belia muda yang berminat dan ingin mencuba sukan ragbi di negara ini.

Tuan Yang Terutama David Ian Campbell menerima cenderamata.
Tuan Yang Terutama David Ian Campbell menerima cenderamata.
Latihan yang dijalankan bersama pasukan pemain sekolah-sekolah.
Latihan yang dijalankan bersama pasukan pemain sekolah-sekolah.

“Dengan adanya penampilan pasukan Saracens hari ini, pemain-pemain daripada sekolah tempatan yang hadir telah mendapat pengetahuan yang lebih mendalam serta teknik dan cara-cara yang betul dan secara tidak langsung memupuk pembangunan sukan ragbi bagi masa hadapan.”

Menurut beliau, penyertaan para pemain dan peminat di Negara Brunei Darussalam semakin bertambah dan lebih daripada 50 pasukan di setiap sekolah telah menyertai sukan ragbi ini.

“Sukan ragbi kini telah menjadi sebahagian daripada pertandingan Sukan SEA dan Olimpik. Ini membuatkan lebih ramai lagi generasi muda di negara ini untuk cuba mencapai tahap yang lebih maju.”

Hari Pembangunan Sukan Ragbi ini bertujuan untuk memberikan motivasi dan keyakinan diri para pemain melalui latihan yang telah diberikan agar mereka dapat mencapai kejayaan yang diingini di samping memupuk nilai-nilai teras kesukanan iaitu pendidikan, integriti, minat, perpaduan dan disiplin.