ISB anjur walkaton, bersih pantai KB

ISB anjur walkaton, bersih pantai KB

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 6 Nov – Kira-kira 80 pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) cawangan Kuala Belait, hari ini, telah menyertai acara walkaton dan membersihkan pantai di Kuala Belait berhampiran Hotel Sea View, bagi mengumpul dana untuk aktiviti sekolah.

Aktiviti anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dengan kerjasama sekolah berkenaan telah melibatkan 14 guru dan 20 orang ibu bapa yang berjalan mengikuti kategori masing-masing iaitu antara 2km atau 5km.

Selesai acara walkaton, aktiviti membersih pantai diteruskan dengan mengutip sampah dari serata tempat yang dilalui.

Pengerusi PIBG yang juga Guru Tahun 6 dan 7 sekolah berkenaan, Tim Jones ketika ditemui berkata pihak mereka telah berjaya mengumpul dana sebanyak $9,000 pada tahun lepas dengan 10 peratus hasil kutipan didermakan kepada projek ‘Millionth Trees’ dan tahun ini mereka juga akan mendermakan sebanyak 10 peratus kepada salah sebuah badan kebajikan di sini.

Gelagat murid-murid ISB KB sebelum memulakan acara walkaton dan membersihkan pantai pagi kelmarin.
Gelagat murid-murid ISB KB sebelum memulakan acara walkaton dan membersihkan pantai pagi kelmarin.
Tim Jones ketika ditemu bual mengenai acara berkenaan.
Tim Jones ketika ditemu bual mengenai acara berkenaan.

Menurutnya lagi, selebihnya akan digunakan untuk membeli peralatan ICT seperti komputer riba baru dan peralatan audio serta visual bagi kegunaan para pelajar yang mengambil pelajaran ICT.

“Acara sebegini sememangnya adalah perkara yang baik bagi pendedahan para pelajar terutamanya dari segi amalan gaya hidup yang sihat serta mengajar mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar,” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, di tempat berasingan, ISB KB juga mengadakan Move-A-Thon bagi murid tadika, yang mengetengahkan aktiviti-aktiviti sesuai dengan umur mereka seperti Larian Telur Berganti dan Lumba Basikal.