ISB rai Hari Antarabangsa ke-2

ISB rai Hari Antarabangsa ke-2

Oleh Wani Roslan

Gambar oleh Dean Kassim

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Bagi meraikan diversiti dalam budaya, kewarganegaraan dan bahasa, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) hari ini meraikan Hari Antarabangsa ke-2 di kampus barunya di Sungai Hanching.

Berkenan berangkat ke acara itu ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah. Turut berangkat ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Raqeeqah Raayatul Bolqiah.

Hari Antarabangsa merupakan acara kebudayaan tahunan sekolah itu yang mempunyai pelajar dari 47 buah negara. Sepanjang acara itu, para pelajar ISB, ibu bapa, kakitangan dan keluarga mereka mengenakan pakaian kebangsaan negara masing-masing seperti baju cara Melayu dan baju kurung bagi Brunei Darussalam, kimono dan yukata bagi Jepun, cheongju dan hanbok bagi Korea dan cheongsam bagi China dan sebagainya.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan meraikan Hari Antarabangsa bersama rakan-rakan.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim berkenan meraikan Hari Antarabangsa bersama rakan-rakan.
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan menghadiri acara Hari Antarabangsa ISB.
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan menghadiri acara Hari Antarabangsa ISB.
ATAS DAN BAWAH: YAM Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb dan YAM Pengiran Anak Raqeeqah Raayatul Bolqiah turut meraikan Hari Antarabangsa.
ATAS DAN BAWAH: YAM Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb dan YAM Pengiran Anak Raqeeqah Raayatul Bolqiah turut meraikan Hari Antarabangsa.

Keraian dimulakan dengan perarakan negara-negara ketika perhimpunan di dewan serba guna diikuti dengan pelbagai persembahan kebudayaan daripada pelajar, anggota komuniti ISB, pelajar Sekolah Seri Mulia Sarjana dan Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD).

Antara persembahan menarik perhatian ialah lagu tradisional Indonesia, berjudul ‘Naik Delman’ dan ‘Hela Rotan,’ Tarian Burung Merak daripada suku Dai di wilayah Yunnan, China oleh pelajar Sekolah Seri Mulia Sarjana dan Tarian Ngajat serta demonstrasi sumpitan oleh anggota Eco Ponies Garden dari Kampung Lamunin, Tutong.

Turut memeriahkan lagi acara itu ialah Pesta Makanan dan Pesta Ria Antarabangsa di mana para pelajar, ibu bapa dan guru-guru mendirikan gerai makanan dari 12 negara atau mempamerkan permainan menyeronokkan berdasarkan tema dan budaya negara tertentu.

ARTIKEL YANG SAMA