ISB tawar 4 biasiswa kepada pelajar Thai

ISB tawar 4 biasiswa kepada pelajar Thai

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) telah menawarkan empat biasiswa kepada Projek Biasiswa Diraja untuk memberi peluang kepada pelajar Thailand mengikuti pelajaran di ISB.

Biasiswa tersebut disembahkan kepada Puteri Maha Chakri Sirindhorn oleh Pengurus Pembangunan Perniagaan ISB, Ang Beng Siong dalam satu majlis di di Istana Chitralada, Bangkok, Thailand pada 18 November lalu.

ISB dalam satu kenyataan hari ini berkata, para penerima biasiswa berusia antara 12 tahun hingga 17 tahun akan dipilih oleh Puteri Maha Chakri Sirindhorn dan mereka akan bersekolah berasrama penuh di ISB selama 8 minggu, bermula April 2017.

Menurut ISB, pembelajaran Bahasa Inggeris akan menjadi mata pelajaran utama sementara para penerima biasiswa itu akan juga berinteraksi dengan rakan kelas masing-masing di ISB dan akan belajar dan tinggal di asrama penginapan ISB.

“Kami berbesar hati untuk terlibat dan menyokong Yang Teramat Mulia dalam Projek Biasiswa Diraja. Kami berharap menerusi biasiswa ini para penerima akan membawa pulang bersama mereka pengalaman pembelajaran, persahabatan dan kemahiran hidup yang diraih dan menjadi warga sejagat yang bertanggungjawab dan berdikari,” kata Ang Beng Siong.

Ang Beng Siong ketika menyembahkan biasiswa kepada Puteri Maha Chakri Sirindhorn di Istana Chitralada, Bangkok, Thailand pada 18 November lalu.
Ang Beng Siong ketika menyembahkan biasiswa kepada Puteri Maha Chakri Sirindhorn di Istana Chitralada, Bangkok, Thailand pada 18 November lalu.

Menurut kenyataan itu lagi, ISB juga terlibat dalam Pameran Belajar Di Luar Negara Pertubuhan Perunding Pendidikan Antarabangsa Thailand (TIECA) kali ke-31 pada 19 November 2016 di The Westin Grande Sukhumvit, Bangkok.

Pameran tersebut menjadi asas untuk mengembangkan dan membuat publisiti tentang pendidikan antarabangsa ISB kepada para pelajar Thailand.

“Ini adalah kali pertama bagi kami untuk terlibat dalam pameran pendidikan yang dianjurkan oleh TIECA. Selain mendapatkan pendaftaran pelajar-pelajar Thailand, hasrat kami ialah juga untuk mengangkat profil dan kesedaran tentang Brunei Darussalam sebagai destinasi yang boleh dipercayai dan sesuai bagi pendidikan berkualiti,” kata Ang lagi.

Beliau menambah, hubungan rapat Brunei dengan Thailand berserta dengan kemudahan sekolah antarabangsa kelas dunia ISB, adalah faktor-faktor penting untuk dipertimbangkan apabila memilih laluan bagi anak-anak mereka.

ARTIKEL YANG SAMA