Isi cuti bersama Fun Bee

Isi cuti bersama Fun Bee

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Sempena cuti penggal pertama persekolahan ini, Fun Bee Park menawarkan pembelajaran menyeronokkan menerusi perkhemahan dan lawatan ke tempat-tempat menarik sekitar Brunei Darussalam yang bertujuan merangsang imaginasi kanak-kanak dengan aktiviti berasaskan kreativiti.

Menurut kenyataan Fun Bee, aktiviti-aktiviti berkenaan direka untuk mendedahkan kanak-kanak kepada persekitaran yang merangsang kemahiran fizikal, kognitif dan sosial.

Sebelum ini, lawatan-lawatan telah diadakan ke muzium dan galeri-galeri kesenian bagi pembelajaran kreatif, ladang penyu atau Pusat Biodiversiti Marin, lawatan gajah dan menyusuri Kampong Ayer.

Selain itu, Fun Bee juga menganjurkan lawatan ke tempat penternakan ikan di Pulau Pelumpong yang terletak di Muara di mana peserta perkhemahan berpeluang menaiki perahu. Kanak-kanak juga dibawa melawat ke ladang lebah, buah-buahan dan sayur-sayuran, Hotel Radisson, Sorisso Restaurant & Pizzeria, kilang udang Golden Corporation dan banyak lagi.

Baru-baru ini, Fun Bee Park bersama para tenaga pengajarnya, kanak-kanak dan ibu bapa mereka telah melawat semula ke ladang penyelidikan buah dan sayuran yang dimiliki Asia Enterprise.

Semasa lawatan ke ladang penyelidikan buahan dan sayuran Asia Enterprise.
Semasa lawatan ke ladang penyelidikan buahan dan sayuran Asia Enterprise.

Pengurus Besar Asia Enterprise, Chai Yum Fatt mengalu-alukan rombongan kanak-kanak dan ibu bapa mereka ke ladang penyelidikannya di Kampung Bengkurong Masin, di mana mereka mempelajari mengenai pelbagai jenis tanaman tempatan seperti papaya, jagung manis, labu pahit, labu air, terung, labu, durian belanda, buah markisah dan banyak lagi.

Manakala itu, satu lagi lawatan dijadualkan pada 26 Mac ini di mana kanak-kanak boleh belajar membuat kikik dan menerbangkannya di tepi pantai sambil berkelah.

Menurut kenyataan itu lagi, di samping lawatan, kanak-kanak juga boleh mengambil bahagian dalam projek-projek asas memasak, membakar kek dan seni kreatif di bengkel-bengkel Fun Bee Park.

Penyertaan masih dibukakan untuk bengkel-bengkel kesenian di mana kanak-kanak boleh menghasilkan seni kanvas 3D, seni botol plastik, menghasilkan tanah liat dan barang kemas pada 28 hingga 31 Mac dari jam 9 hingga 11 pagi.

Bengkel membuat kek akan diadakan pada 28 dan 30 Mac yang menampilkan resipi Moist Chocolate Cake & Pavlova, Oreo Bars & Nutella Mallow Fudge dari 2 hingga 4 petang.

ARTIKEL YANG SAMA