Isi perut suami dalam beg isteri

Isi perut suami dalam beg isteri

VIENNA, 26 Sept – Pegawai kastam di lapangan terbang Austria terkejut besar apabila menemui isi perut manusia dalam beg seorang pelancong Maghribi, yang berkata ia milik suaminya yang sudah meninggal dunia, lapor media tempatan kelmarin.

Penemuan luar biasa itu dibuat inspektor di lapangan terbang wilayah Graz, yang memeriksa bagasi milik wanita yang tiba dari Maghribi, menurut akhbar Kleine Zeitung dan agensi berita APA.

Usus berkenaan dibungkus rapi dan diletakkan dalam dua bekas.

Wanita tidak dinamakan itu menjelaskan beliau mengesyaki suaminya, warga Maghribi yang dilahirkan pada 1976, diracun dan mahu analisis toksik ke atas tisu lelaki itu dilakukan, lapor Kleine Zeitung.

Agensi APA melaporkan, penemuan itu disahkan Kementerian Kewangan, yang memantau perkhidmatan kastam Austria. Polis memberitahu AFP bahawa mereka tidak diminta untuk turut terbabit dalam perkara itu. – AFP