Iskandar Malaysia tarik pelaburan RM187.96 bilion

Iskandar Malaysia tarik pelaburan RM187.96 bilion

PUTRAJAYA, 14 Dis (Bernama) – Iskandar Malaysia, koridor ekonomi di selatan Johor, berjaya menarik sejumlah RM187.96 bilion pelaburan komited terkumpul dari 2006 hingga November 2015, demikian menurut Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Daripada jumlah keseluruhan berkenaan, 50 peratus atau RM93.39 bilion mewakili pelaburan yang telah direalisasikan, kata IRDA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat Ahli-ahli IRDA yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini. IRDA, yang diberi mandat untuk merancang, mempromosi dan menjadi pemudah cara kepada pembangunan di Iskandar Malaysia, dalam kenyataan itu juga memaklumkan Iskandar Malaysia memperoleh pelaburan sebanyak RM29.83 bilion dari Januari hingga November tahun ini.

Menurut IRDA, setakat ini, pelabur tempatan telah menyumbang sebanyak RM111.82 bilion (59 peratus) kepada jumlah pelaburan komited terkumpul manakala baki RM76.14 bilion atau 41 peratus disumbangkan oleh pelabur asing.

“Antara sektor-sektor yang digalakkan, sektor pembuatan mencatatkan pelaburan komited terkumpul tertinggi sebanyak RM52.10 bilion. Ini termasuk pelaburan dari sektor elektrik dan elektronik, petrokimia dan oleokimia serta pemprosesan agro dan makanan,” menurut kenyataan itu.

Ia diikuti oleh logistik (RM5.70 bilion), pelancongan (RM3.10 bilion), penjagaan Kesihatan (RM2.77 bilion), pendidikan (RM2.06 bilion), perkhidmatan perundingan dan nasihat kewangan (RM0.74 bilion) dan industri kreatif (RM0.56 bilion).

ARTIKEL YANG SAMA